USM PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN MALAYSIA–JEPUN DALAM SPEKTROSKOPI MUON, BAHAN TERMAJU DAN PEMBELAJARAN MESIN
USM PULAU PINANG, 22 Jun 2026 – Pusat Pengajian Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini menganjurkan sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Japan & Malaysia: Frontiers in Muon Spectroscopy and Advanced Materials Research’ di kampus induk USM.
Program yang berlangsung pada 10 Jun 2026 itu menghimpunkan penyelidik dari USM dan Jepun bagi berkongsi pengetahuan mengenai bidang penyelidikan yang sedang berkembang pesat, termasuk spektroskopi muon, bahan termaju, fizik semikonduktor, Density Functional Theory (DFT), molekul organik, Scanning Tunnelling Microscopy (STM) serta aplikasi pembelajaran mesin dalam penyelidikan bahan.
Sesi tersebut menampilkan penyelidik jemputan dan wakil daripada beberapa institusi penyelidikan serta universiti terkemuka di Jepun, iaitu RIKEN Nishina Centre for Accelerator-Based Science, Hokkaido University, Sophia University, Shibaura Institute of Technology dan Comprehensive Research Organization for Science and Society (CROSS).
Institusi berkenaan diwakili oleh Profesor Dr. Isao Watanabe, Profesor Dr. Koichi Ichimura, Profesor Madya Dr. Ryui Kaneko, Profesor Madya Dr. Dita Puspita Sari, Dwi Amalia dan Muhammad Khalish Nuryadin sebagai penceramah jemputan.
Pemangku Dekan Pusat Pengajian Fizik, Profesor Madya Dr. Ahmad Fairuz Omar berkata, program ini mencerminkan komitmen USM dalam memperluas kerjasama penyelidikan antarabangsa serta memperkukuh kolaborasi rentas disiplin dalam bidang sains strategik.
"Kerjasama dengan institusi penyelidikan terkemuka di Jepun membuka peluang yang amat bernilai untuk pertukaran ilmu, pembangunan bakat serta pemerkasaan penyelidikan berteknologi tinggi yang mampu menyumbang kepada inovasi saintifik dan teknologi," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa program tersebut bertujuan memberi pendedahan mengenai prinsip dan aplikasi spektroskopi muon, khususnya sebagai teknik pencirian termaju untuk mengkaji sifat dalaman bahan, tingkah laku magnet, dinamik pembawa cas serta kecacatan mikroskopik.
"Bidang ini amat relevan dengan kekuatan penyelidikan USM dalam bahan semikonduktor, nanoteknologi, tenaga boleh baharu serta pembangunan bahan berfungsi termaju," tambah beliau.
Sepanjang program berlangsung, beberapa sesi perkongsian telah diadakan meliputi pelbagai topik seperti kerjasama penyelidikan antara Pusat Pengajian Fizik USM dan RIKEN Jepun, aplikasi kecerdasan buatan dalam fizik muon, teknik Muon Spin Rotation/Relaxation/Resonance (μSR), integrasi DFT dan pembelajaran mesin, penyelidikan molekul organik serta STM, selain teori fizik keadaan pepejal yang disokong oleh pembelajaran mesin.
Program ini turut bertujuan memperkukuh keupayaan penyelidikan tempatan dalam teknik pencirian berimpak tinggi, menyokong penyelidikan dalam bidang tenaga, semikonduktor dan nanoteknologi, meningkatkan keterlihatan USM dalam rangkaian penyelidikan antarabangsa serta menggalakkan kerjasama strategik yang berpotensi menghasilkan geran penyelidikan bersama dan penerbitan berimpak tinggi.
Di samping itu, program ini menjadi platform interaksi akademik antara penyelidik tempatan dan antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama dan perkongsian kepakaran pada masa hadapan.
Program tersebut disertai oleh pensyarah, penyelidik, pelajar pascasiswazah, pelajar prasiswazah serta wakil daripada bidang berkaitan bahan termaju dan teknologi tenaga.
Sesi perkongsian diakhiri dengan perbincangan tertutup melibatkan penyelidik jemputan dan ahli akademik USM bagi membincangkan potensi kerjasama penyelidikan dalam bidang bahan termaju, spektroskopi muon serta analisis yang dibantu oleh pembelajaran mesin.
Melalui penganjuran program ini, Pusat Pengajian Fizik terus menyokong aspirasi USM untuk memperkukuh kerjasama penyelidikan antarabangsa, meningkatkan keupayaan penyelidikan dalam bidang bahan termaju serta menyumbang kepada inovasi saintifik yang memberi impak di peringkat global.
Teks & Foto: Dr. Muhammad Rabie Omar dan Dr. Ahmad Rujhan Mohd. Rais, Pusat Pengajian Fizik, USM.
- Created on .
- Hits: 6