USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SENI DAN KRAF BAWA KEBAHAGIAAN: MGTF USM RAIKAN KREATIVITI DAN KESEJAHTERAAN

USM PULAU PINANG, 22 Jun 2026 – Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), telah berjaya menganjurkan program ‘Art and Craft Happiness’, sebuah inisiatif berteraskan komuniti yang diadakan bersempena Hari Kebahagiaan Antarabangsa 2026 dan Hari Muzium Antarabangsa 2026.

Program yang berlangsung pada 18 Jun 2026 itu menghimpunkan warga USM, pencinta seni dan kraf serta masyarakat umum dalam satu petang yang meraikan kreativiti, kesejahteraan dan interaksi sosial yang bermakna menerusi aktiviti seni dan kraf.

Majlis dimulakan dengan persembahan muzik santai daripada USM Jazz Band yang berjaya memeriahkan suasana. Persembahan secara langsung itu bukan sahaja menghiburkan para pengunjung, malah menjadi pembuka tirai kepada konsert amal tahunan kumpulan tersebut, sekali gus mewujudkan suasana yang mesra dan mengalu-alukan kehadiran pengunjung.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM, Dr. Tetriana Ahmed Fauzi, yang menekankan peranan muzium sebagai ruang inklusif yang mampu memupuk kreativiti, pembelajaran sepanjang hayat serta penglibatan komuniti.

Beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti menghasilkan karya seni mempunyai hubungan yang rapat dengan kebahagiaan dan kesejahteraan diri.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Profesor Dr. Intan Hashimah Mohd. Hashim, yang membincangkan hubungan antara seni, kraf dan kebahagiaan.

Beliau menjelaskan bahawa ekspresi kreatif memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi, meningkatkan kesedaran diri (self-awareness), amalan kesedaran minda (mindfulness), mengukuhkan hubungan sosial serta membantu mengurangkan tekanan. Beliau turut menggalakkan peserta menjadikan aktiviti seni sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian yang bermakna.

Sepanjang program berlangsung, para peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan muzik secara langsung, sesi perkongsian mengenai kebahagiaan, demonstrasi kraf serta sesi interaktif Craft Hangout.

Peserta turut digalakkan membawa hasil kraf masing-masing untuk disiapkan, dipamerkan dan dikongsi bersama peserta lain, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran idea dan pembinaan jaringan dalam kalangan komuniti pencinta seni dan kraf.

Program ini turut mengetengahkan pelbagai bentuk ekspresi kreatif seperti seni tembikar, kraf tekstil, lukisan dan aksesori buatan tangan yang mencerminkan kepelbagaian amalan seni dalam komuniti.

Menerusi sesi Sharing Happiness, para peserta berkongsi pengalaman bagaimana aktiviti seni membantu meningkatkan fokus, memberikan kegembiraan, menyokong amalan meditasi dan mindfulness, mewujudkan ketenangan, merangsang memori positif serta membantu mengawal emosi.

Melalui penganjuran ‘Art and Craft Happiness’, MGTF terus memperkukuh peranannya sebagai hab budaya dan pendidikan yang menghubungkan muzium dengan masyarakat, di samping mempromosikan kreativiti, keterangkuman dan kesejahteraan holistik, selaras dengan komitmen USM dalam memperkasa penglibatan komuniti yang berimpak.

Teks: Dr. Tetriana Ahmed Fauzi
Foto: Nur Hafizah Aziz dan Azizi Yahya, Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM.

  • Created on .
  • Hits: 7

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025