USM DIIKTIRAF SEBAGAI RAKAN STRATEGIK HAB PELABURAN TEKNOLOGI TINGGI NTIC
Berbekalkan kepakaran CEDEC dalam melahirkan pereka bentuk litar bersepadu (Integrated Circuit – IC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (Northern Corridor Implementation Authority – NCIA) telah menjalin kerjasama dengan CEDEC bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor.
Sehingga kini, USM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai pusat kecemerlangan, iaitu CEDEC, yang dilantik sebagai penyedia Centre of Excellence (CoE) bagi NCER Technology Innovation Centre (NTIC). Turut dilantik sebagai penyedia CoE ialah syarikat spin-off perintis USM, Visionlytics Sdn. Bhd.
NTIC menyasarkan pelaburan baharu berjumlah RM8.5 bilion menjelang tahun 2030 bagi memperkukuh kedudukan wilayah utara sebagai hab semikonduktor bernilai tinggi.
Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata sasaran tersebut akan dipacu oleh Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) yang menerajui usaha membangunkan keupayaan pembungkusan semikonduktor termaju.
Selaras dengan usaha Malaysia memperkukuh kelebihan dalam industri semikonduktor melalui pengembangan keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan sistem, pembungkusan termaju, automasi, pembangunan peralatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan prototaip serta pengkomersialan, sasaran APIRC menjelang 2030 dijangka memberi limpahan manfaat kepada negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
Antara impak yang dijangka dicapai termasuklah peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, peluasan pengkomersialan teknologi serta penyertaan yang lebih besar oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global.
USM komited untuk terus menyumbang kepakaran serta membangunkan bakat bagi melengkapkan ekosistem semikonduktor negara. Seiring dengan kerjasama strategik bersama NCIA, USM akan terus memperluas keupayaan dan memperkukuh rantaian pembangunan bakat semikonduktor ke arah merealisasikan ekonomi bernilai tinggi menjelang tahun 2030.
NTIC telah dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir. USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Azlan Amran serta Pengarah CEDEC, Profesor Asrulnizam Abd. Manaf.
Selepas majlis pelancaran NTIC, CEDEC turut mempamerkan keupayaannya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) semasa lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ke pusat inovasi tersebut.
Teks: Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil, Pengarah, Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM.
Foto: Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM.
- Created on .
- Hits: 8