USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERAJUI KOHORT GLOBAL PERTAMA PROGRAM SIJIL PELAJAR SEMIKONDUKTOR KEYSIGHT

PULAU PINANG, 16 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah apabila menjadi institusi pertama di dunia yang menerajui Keysight Semiconductor Student Certification Program, sekali gus mencatat satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama strategik antara industri dan akademia.

USM menerajui Keysight Semiconductor Student Certification Program

Diiktiraf sebagai antara universiti terkemuka dalam penyelidikan dan pembangunan semikonduktor, USM telah dipilih oleh Keysight Technologies untuk menerajui inisiatif perintis "Industry on Campus" yang bertujuan memperkukuh pembangunan bakat industri semikonduktor.

Seramai 25 orang pelajar menyertai kohort sulung program tersebut, dengan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang dianugerahkan Keysight Semiconductor Certification, satu pensijilan berprestij yang mengiktiraf kompetensi dalam bidang semikonduktor.

Peserta Kohort Pertama Program Sijil Pelajar Semikonduktor Keysight

Pensijilan ini mengesahkan kecekapan peserta dalam analisis peranti semikonduktor, pengendalian sistem ujian serta teknik pengukuran fotonik menggunakan perisian Electronic Design Automation (EDA) dan instrumen ujian serta pengukuran berteknologi tinggi.

Inisiatif ini diterajui oleh Pengarah Pejabat Jaringan Industri di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil, dengan sokongan tenaga akademik daripada Pusat Pengajian Fizik serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Kerjasama strategik USM dan Keysight Technologies

Pencapaian ini terus memperkukuh kedudukan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan awam terkemuka yang komited dalam memperkasakan pendidikan selaras dengan keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan mampan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) negara.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui laman sesawang Keysight Technologies.

Teks: Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM.
Suntingan: Tan Ewe Hoe.
Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) dan Pejabat Jaringan Industri, BJIM, USM.

  • Created on .
  • Hits: 8

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025