SoLLaT USM TAWAR KURSUS KOMUNIKASI ASAS BAHASA ARAB PERCUMA KEPADA KOMUNITI MENERUSI INISIATIF PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
USM PULAU PINANG, 12 Jun 2026 – Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT), Universiti Sains Malaysia (USM), kini menganjurkan Kursus Komunikasi Asas Bahasa Arab untuk Komuniti Seberang Perai Tengah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta penglibatan komuniti.
Program yang bermula pada awal Jun tahun ini dianjurkan dengan kerjasama Surau Evoke Pauh Jaya dan Muslimat Surau Taman Pauh Jaya.
Kursus tersebut dikendalikan oleh Ilham Ebau, tenaga pengajar kanan Bahasa Arab daripada Seksyen Bahasa Asing, SoLLaT, dan berlangsung di Surau Evoke Pauh Jaya.
Program ini dijadualkan berlangsung selama 14 minggu, dengan dua sesi pembelajaran setiap minggu.
Sambutan yang diterima daripada komuniti setempat amat menggalakkan, dengan penyertaan seramai 37 peserta yang berumur antara 37 hingga 82 tahun, sekali gus mencerminkan minat masyarakat terhadap pembelajaran bahasa asing tanpa mengira usia.
Peserta yang berjaya menamatkan kursus akan menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka sepanjang mengikuti program tersebut.
Kursus ini ditawarkan secara percuma kepada komuniti hasil sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, YB Izhar Shah Datuk Arif Shah, serta Pengerusi Surau Evoke Pauh Jaya, Mohd Nizal Ismail.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen SoLLaT dalam memperluas akses kepada pendidikan sepanjang hayat, di samping mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti melalui perkongsian ilmu yang inklusif dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Teks & Foto: Dr. Lee Pin Ling, Pengerusi Seksyen Bahasa Asing, SoLLaT, USM.
Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin.
- Created on .
- Hits: 7