USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI USM DILANTIK PRO CANSELOR KETIGA

190913-1

PULAU PINANG, 19 September 2013 - “Saya sungguh tergamam dan tidak menduga apabila dimaklumkan bahawa Tuanku Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperkenankan saya sebagai Pro Canselor yang ketiga,” kata Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang telah dimasyhurkan sebagai Pro Canselor yang ketiga oleh D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Canselor USM.

USM dengan beliau adalah seperti isi dengan kuku. Begitu juga dengan jasa-jasa beliau dalam membangunkan alumni-alumni USM yang lain terutamanya di Wilayah Persekutuan dan Selangor sehingga dilantik sebagai Presiden Persatuan Alumni Wilayah Persekutuan dan Selangor.

“Pelantikan ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada alumni dan ini adalah kali pertama seorang alumni dilantik sebagai Pro Canselor,” kata Mustafa.

“Dalam sejarah USM, beliau adalah ahli Majlis, ahli Lembaga Pengarah dan ahli Lembaga Gabenor Universiti paling lama di USM iaitu bagi tempoh 35 tahun,” tambah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman semasa sidang akhbar memperkenalkan Mustafa dan juga Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi, Pengerusi Eksekutif Texchem Group yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains.

“Hari pertama saya di USM adalah hari di mana Malaysia kehilangan permata berharga dalam industri perfileman, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu pada 29 Mei 1973,” kata beliau mengimbas kembali kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Beliau dilantik untuk bersama-sama tokoh pentadbiran awam Tan Sri Razali Ismail dan tokoh sukan Tan Sri Dato’ Dr Jegathesan Manikavasagam sebagai Pro Canselor berkuatkuasa hari ini.

Mustafa mendapat pendidikan awal di Clifford School, Kuala Kangsar serta melanjutkan pengajian di Institut Bahasa Kuala Lumpur dengan memperolehi Sijil Latihan Perguruan Malaysia dan Cambridge Higher School Certificate. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di USM pada tahun 1973 sehingga 1976 dalam bidang sains politik.

Beliau dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran dan pada tahun 2005, beliau turut dianugerahkan the Grand Officiale of the Order of Solidarity oleh Presiden Republic of Italy, Carlo Azeglio Ciampi. - Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1593

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024