USM NEWS PORTAL 

USM METERAI MoU DENGAN TECHNICAL UNIVERSITY OF SOFIA PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK GLOBAL

USM PULAU PINANG, 11 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Technical University of Sofia (TUS), institusi pendidikan tinggi kejuruteraan terbesar dan paling berprestij di Bulgaria.

Majlis Pemeteraian MoU antara USM dan Technical University of Sofia

Perjanjian yang dimeterai pada 3 Jun 2026 di kampus TUS itu menjadi asas kepada kerjasama akademik dan saintifik jangka panjang antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan latihan.

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua universiti akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan, pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penganjuran seminar serta program latihan, di samping pertukaran penerbitan saintifik.

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan memperkukuh perkongsian ilmu, pertukaran budaya serta pembangunan pendidikan yang dipacu oleh inovasi.

USM diwakili oleh Dekan Graduate School of Business (GSB) USM, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim pada majlis menandatangani MoU yang berlangsung bersempena Persidangan Saintifik Antarabangsa Ke-24 Management and Engineering '26 (ISCME'26).

Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim mewakili USM pada majlis pemeteraian MoU

Mengulas mengenai kepentingan kerjasama tersebut, Fathyah berkata:

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh jaringan global serta merealisasikan aspirasi untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi masa depan melalui pendedahan antarabangsa. Menerusi kerjasama erat dengan TUS, kami berhasrat memajukan kelestarian, inovasi dan penyelidikan berimpak yang memberi manfaat kepada Malaysia dan Bulgaria," katanya.

Selain menghadiri majlis pemeteraian tersebut, beliau turut dijemput sebagai penceramah utama persidangan dengan membentangkan kertas kerja bertajuk 'Humanising Next-Gen Governance: How Business Schools Shape Leadership in the Age of AI and ESG.'

Pembentangan itu menekankan peranan penting sekolah/pusat pengajian perniagaan dalam melahirkan pemimpin yang beretika, adaptif dan berfikiran global, sekali gus bersedia mendepani cabaran era kecerdasan buatan (AI) serta tadbir urus yang dipacu oleh prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Delegasi USM dan Technical University of Sofia

Sementara itu, Rektor TUS, Profesor Dr. Georgi Venkov, menyambut baik kerjasama tersebut.

"Kami amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan USM, sebuah institusi terkemuka di Asia Tenggara. MoU ini membuka peluang baharu kepada pelajar dan penyelidik kami untuk terlibat dalam pertukaran akademik yang bermakna, di samping memperkukuh peranan kami dalam inovasi global dan kemajuan teknologi," katanya.

Sebagai ahli European University of Technology Alliance, TUS terus memperluas rangkaian kerjasama antarabangsa bagi mewujudkan lebih banyak peluang dalam memajukan pendidikan, sains dan inovasi di peringkat global.

Pemeteraian MoU antara USM dan TUS ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama akademik antarabangsa yang mencerminkan visi bersama kedua-dua institusi untuk memupuk kecemerlangan, memacu inovasi serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi masa hadapan menerusi pendidikan dan penyelidikan.

Sumber: Technical University of Sofia
Teks: Tan Ewe Hoe
Foto: Ihsan Profesor Dr. Eng. Yordanka Angelova, Dekan Fakulti Pengurusan, Technical University of Sofia (TUS).


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025