USM NEWS PORTAL
BERTAM, PULAU PINANG, 9 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila Klinik Perubatan Obesiti di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Bertam diiktiraf sebagai EASO International Affiliate Collaborating Centre for Obesity Management, sekali gus menjadi pusat pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij tersebut.
Akreditasi yang dianugerahkan menerusi program European Association for the Study of Obesity Collaborating Centres for Obesity Management (EASO COM) itu meletakkan USM dalam kelompok pusat pengurusan obesiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Di rantau Asia, PKTAAB kini merupakan pusat keempat yang menerima akreditasi berkenaan, yang turut menyertai sebuah pusat di Singapura dan dua pusat di India.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai manifestasi peranan universiti dalam menterjemahkan ilmu kepada impak yang signifikan kepada masyarakat.
"Pengiktirafan ini membuktikan bahawa kepakaran yang dibangunkan di Malaysia mampu menyumbang secara bermakna kepada standard penjagaan kesihatan global, di samping terus memenuhi keperluan komuniti tempatan," katanya.
Akreditasi tersebut mengiktiraf pusat yang menyediakan rawatan obesiti secara sistematik dan berasaskan bukti melalui pendekatan multidisiplin, di samping mengekalkan komitmen tinggi terhadap kualiti klinikal, pendidikan, penyelidikan serta penambahbaikan berterusan.
Diberikan bagi tempoh dua tahun, akreditasi ini mengesahkan bahawa PKTAAB memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh EASO dalam menyediakan penjagaan obesiti yang berstruktur serta memajukan amalan terbaik dalam bidang berkenaan.
Pencapaian ini merupakan satu mercu tanda penting dalam bidang perubatan obesiti di Malaysia, khususnya ketika obesiti terus menjadi cabaran utama kesihatan awam. Berdasarkan data kesihatan nasional, Malaysia merekodkan antara kadar berat badan berlebihan dan obesiti tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menekankan keperluan terhadap penjagaan yang lebih khusus, bersepadu dan berpusatkan pesakit.
Di PKTAAB, pengurusan obesiti dilaksanakan melalui pendekatan multidisiplin yang melibatkan pakar perubatan obesiti, jururawat, ahli farmasi, ahli fisiologi senaman, pakar diet serta ahli psikologi. Klinik ini menawarkan penilaian menyeluruh dan pengurusan jangka panjang kepada individu yang hidup dengan obesiti, termasuk penilaian komplikasi berkaitan obesiti, intervensi tingkah laku dan gaya hidup, pengurusan ubat-ubatan, kaunseling pemakanan, preskripsi senaman, sokongan psikologi serta rujukan untuk pembedahan bariatrik metabolik apabila diperlukan.
Pakar Perubatan Obesiti dan penyelaras utama permohonan akreditasi, Dr. Teoh Soo Huat, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa penjagaan obesiti di Malaysia.
"Akreditasi ini memperkukuhkan kepentingan melihat obesiti sebagai penyakit kronik yang perlu dirawat melalui pendekatan yang berstruktur, berasaskan bukti dan berpusatkan pesakit. Ia juga membuktikan bahawa institusi penjagaan kesihatan di Malaysia mampu memenuhi piawaian antarabangsa dalam pengurusan obesiti," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil usaha kolektif seluruh pasukan multidisiplin yang mengendalikan klinik berkenaan.
"Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi, kerjasama dan komitmen berterusan selama bertahun-tahun dalam menyediakan penjagaan menyeluruh kepada individu yang hidup dengan obesiti. Ia menjadi bukti kepakaran dan kerja keras setiap ahli pasukan yang telah menyumbang sepanjang perjalanan ini," tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian EASO COM, PKTAAB berpeluang menyertai kerjasama bersama pakar antarabangsa, program pertukaran profesional, inisiatif pelbagai pusat serta projek yang diterajui EASO bagi memajukan usaha pencegahan dan rawatan obesiti di peringkat global.
Selain pengiktirafan antarabangsa, akreditasi ini turut membuka ruang baharu kepada kerjasama strategik, perkongsian ilmu dan penyelidikan yang berpotensi memacu kemajuan pengurusan obesiti di rantau ini.
Teks & Foto: Dr. Teoh Soo Huat, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM.
Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM.
Pasukan Pengurusan Obesiti, PKTAAB, USM @ Bertam
Berdiri (dari kiri): Nur Jayizah Mohd Ismail (Ahli Farmasi), Dr. Ooi Cheong Hwa (Ahli Fisiologi Senaman), Dr. Teoh Soo Huat (Pakar Perubatan Obesiti & Perubatan Keluarga), Norsheila Sani (Jururawat).
Duduk (dari kiri): Yusfizahani Md. Yusuff (Pakar Diet), Nurul Hidayah Mohd Sa'at (Ahli Psikologi).
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel :
All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025