USM NEWS PORTAL
USM PULAU PINANG, 13 April 2026 – Pertandingan reka bentuk perabot WOODFEST 2026, anjuran Politeknik Kota Kinabalu dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Benua Brutti Sdn. Bhd., menjadi platform penting dalam menilai reka bentuk perabot kontemporari Malaysia di bawah tema “Living Small and Well”.
Pertandingan tersebut menghimpunkan tujuh institusi termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology, Kolej Komuniti Kuala Lumpur, Pusat Kraftangan Sabah, dan tuan rumah, Politeknik Kota Kinabalu.
Tema tersebut mencabar peserta untuk meneliti isu kekangan ruang, tingkah laku pengguna, dan kecekapan bahan dalam persekitaran hidup kompak.
Penyertaan ditutup pada 22 Mac 2026, dengan pengumuman finalis pada 3 April dan pemenang pada 8 April 2026.
Pelajar USM raih kejayaan dengan gelaran juara, naib juara serta finalis, sekali gus memperlihatkan peralihan daripada reka bentuk berpusat kepada objek kepada pendekatan berorientasikan pengguna dan berasaskan sistem.
Produk yang muncul sebagai juara pertandingan, MODUBRICK hasil reka bentuk Leow Xue Qing dan Chew Chuan Xiang, ialah meja modular untuk kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun.
Reka bentuk ini menangani kekangan ruang bandar melalui komponen boleh ubah suai yang menyokong aktiviti bermain, pembelajaran, dan kegunaan harian, sambil menekankan nilai adaptasi serta pembelajaran awal.
Leow menjelaskan minatnya dalam reka bentuk lahir daripada rasa ingin tahu terhadap cara objek harian mempengaruhi pengalaman manusia, dan beliau juga menekankan bahawa perabot harus dinilai bukan sahaja dari segi rupa tetapi juga fungsi dan keselesaan pengguna.
Beliau turut menyatakan minat yang semakin mendalam terhadap reka bentuk inklusif, khususnya untuk warga emas dengan fokus kepada mobiliti dan keselamatan.
Naib juara, STACKO yang diilhamkan oleh Tang Xin Yi, menafsir semula kehidupan mikro sebagai disiplin ruang dan bukan sekadar kekangan.
Reka bentuk ini terdiri daripada tiga bangku yang boleh ditukar menjadi meja dan unit storan, mengutamakan fungsi pelbagai dan kompak.
Dibina daripada papan lapis 18mm, ia menyeimbangkan ketahanan dan kemudahalihan, manakala kemasan venir dua tona memperkukuh identiti visualnya.
Produk finalis, EcoVine oleh Teo Jo Ann pula diinspirasikan daripada bentuk semula jadi dan gaya duduk lantai tradisional Asia.
Menggabungkan prinsip reka bentuk biofilik dengan teknik anyaman, kerusi santai ini menghubungkan warisan budaya dengan keperluan kehidupan kompak masa kini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar, berkata: “Saya amat berbangga dengan kreativiti, keaslian, dan nilai kontemporari yang ditunjukkan oleh pelajar USM, yang terus mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan pemikir inovatif yang berupaya menangani cabaran dunia sebenar melalui kecemerlangan reka bentuk.”
Secara keseluruhan, penyertaan ini menekankan kelestarian dan fungsi sebagai pemacu utama reka bentuk, melalui penggunaan modulariti, kecekapan bahan serta jangka hayat produk yang lebih panjang.
Ia membuktikan bahawa kekangan boleh mencetuskan inovasi serta menghasilkan penyelesaian reka bentuk yang lebih adaptif dan bermakna.
WOODFEST 2026 turut mencerminkan kematangan pendidikan reka bentuk di Malaysia apabila pelajar berjaya mengintegrasikan kesedaran budaya, pengalaman pengguna, dan inovasi praktikal, sekali gus mengukuhkan peranan universiti seperti USM dalam melahirkan pereka yang menghubungkan kreativiti, aplikasi, dan kerelevanan industri.
Teks Asal: PrivinKumar Jayavanan, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Jabatan Reka bentuk Produk, Pusat Pengajian Seni, USM
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel :
All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025