USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA GRADUAN CEMERLANG KONGSI KEGEMBIRAAN

DSC 0034

PULAU PINANG, 17 September 2013 – Penerima Pingat Emas Canselor, Yong Bang Ming hari ini berkongsi kegembiraan dengan Suzanna Awang Bono, penerima Anugerah Pelajaran Di Raja Majlis Raja-raja Malaysia (Bumiputera) pada sidang akhbar Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-48. Turut sama ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Sidang Akademik 2012/2013 Muhammad ‘Ammar Mohd Aziz yang menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (terbaik Kokurikulum).

Bang Ming yang kini bekerja sebagai Jurutera di Gamuda turut dianugerahkan Anugerah Pelajaran Di Raja Majlis Raja-raja Malaysia bagi kategori bukan Bumiputera serta Hadiah Pingat Emas USM untuk pelajar tahun akhir yang terbaik dalam bidang Kejuruteraan Elektronik.

“Selain pembelajaran di dalam bilik kuliah, saya suka mencabar diri dengan mengikuti pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa,” kata Bang ming yang pernah memenangi pingat emas dalam pertandingan British Invention Show 2012.

DSC 0006

Suzanna yang akan bergraduasi dalam bidang Sains Kemasyarakatan telah diterima melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi di University of York manakala ‘Ammar juga bercadang untuk melanjutkan pelajaran di USM.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi graduan yang dihasilkan oleh USM. Sejak bermulanya Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) pada tahun 2008 lebih 69% graduan yang dihasilkan adalah di peringkat Ph.D. Namun begitu, USM mensasarkan seramai lebih 500 graduan Ph.D akan dihasilkan pada setiap tahun,” kata  Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

“USM akan berusaha meningkatkan kualiti para graduan sarjana muda dan juga di peringkat sarjana bagi membolehkan mereka di terima melanjutkan pelajaran di peringkat Ph.D.,” tambah Omar.

Pada sidang media yang sama, juga mengumumkan pelantikan Pro Canselor USM yang ketiga iaitu Tan Sri Datuk Mustafa Mansur. Mustafa ialah alumni USM yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) dengan pengkhususan dalam bidang Sains Politik pada tahun 1976.

DSC 0041

Selain itu, USM juga akan menganugerahkan Profesor Emeritus kepada mantan Dekan Pengasas dan Pengarah Kampus Kesihatan Pertama USM, Profesor Dato’ Dr. Roslani Abdul Majid dan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada tokoh korporat terkenal merangkap Pengerusi Texchem, Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi.

Pada kali ini, seramai 5427 graduan termasuk 1194 graduan ijazah tingggi dan 74 diploma akan diraikan pada tujuh sidang bermula 19-22 September 2013.  Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2872

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024