APEX BERJAYA LAHIR GRADUAN IJAZAH TINGGI
PULAU PINANG, 17 September 2013 - Bilangan siswazah doktor falsafah dan yang setaraf dengannya bertambah kira-kira 69% dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Bilangan keseluruhan siswazah ijazah tinggi yang sangat diperlukan kepakarannya untuk mencapai negara maju meningkat dengan begitu cepat dengan kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) melahirkan kira-kira 2,100 orang dalam tempoh tersebut.
Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Sidang Media mengumumkan tentang Upacara Konvokesyen Ke-48 yang akan diadakan pada hari Khamis ini sehingga Ahad dalam tujuh sidang melibatkan kirta-kira 5,427 orang graduan termasuk penerima ijazah kehormat Doktor Sains yang dianugerahkan kepada tokoh industri Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi dan Profesor Emeritus kepada Profesor Dato’ Dr. Mohd. Roslani Abdul Majid, Pengarah Kampus Kesihatan dan Dekan Pusat Pengajian Perubatan pertama USM yang berjaya membangunkan pengajian perubatan dan kesihatan USM.
Omar turut mengumumkan pelantikan Pro Canselor ketiga USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansor yang merupakan bekas pelajar USM dan tokoh korporat dan industri negara.
Jelas Omar, kejayaan USM melahirkan begitu ramai siswazah ijazah tinggi amat signifikan dengan hasrat Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) yang dijalankan sejak tahun 2008 untuk menyediakan bakat-bakat yang dapat menerajui pelbagai bidang keutamaan negara dengan kepakaran mereka.
“Pada tahun ini sahaja kita menghasilkan kira-kira 371 orang siswazah ijazah Doktor Falsafah dan dijangka dapat ditingkatkan sehingga 500 orang setahun dalam tempoh lima tahun yang akan datang,”kata Omar.
Tambahnya lagi, secara keseluruhan pertambahan siswazah ijazah tinggi pada peringkat sarjana dan doktor falsafah meningkat kira-kira 30% sepanjang lima tahun ini daripada keseluruhan lebih 23,000 orang siswazah ijazah tinggi dengan jumlah keseluruhan siswazah USM sejak Konvokesyen Pertama pada tahun 1972, menjadikan kira-kira 115,000 orang.
Turut diadakan nanti ialah Ekspo Konvokesyen USM (ConvEx 2013) yang dikelolakan oleh pelajar USM pada 18 September hingga 22 September ini yang akan dilancarkan oleh D.Y.M.M Tuanku Raja Perempuan Perlis pada 18 Setember 2013, mulai jam 3.00 petang. Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1480