NAIB CANSELOR USM GARIS LIMA STRATEGI KECEMERLANGAN
PULAU PINANG, 21 Januari 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr Omar Osman menggariskan lima strategi dan 115 program untuk dilaksanakan sepanjang 2015 bagi membolehkan USM memacu kecemerlangan dalam Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
Perkara ini dibentangkan dalam Bersama-sama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU 2015) yang juga perutusan tahunan Naib Canselor yang disampaikan kepada lebih 2000 orang staf dan juga pelajar.
“Lima strategi tersebut ialah transformasi, kecemerlangan, keusahawanan dan kewangan, pembangunan institusi dan perkongsian APEX dan dipacu oleh 25 pacuan dengan 25 objektif strategik melalui 115 program dengan 115 sasaran ditetapkan,” ujar Naib Canselor.
Daripada 115 program ini, 57 ialah program baru yang akan melalui pelbagai proses pelaksanaan, 41 ialah program yang diperkukuhkan dan dilebarkan untuk pencapaian strategik objektif yang lebih jelas manakala 17 program sedia ada yang dijangka tidak akan menjalani proses ubahsuaian pelaksanaan.
BUKU 2015 yang bertemakan Memacu Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara tersebut bertujuan untuk menggerakkan keseluruhan masyarakat USM ke arah kecemerlangan dengan arah tuju yang masih berfokus kepada budaya APEX sebagai kata kunci dan budaya cemerlangnya USM.
“Universiti berpuas hati dalam pencapaian yang ditunjukkan sepanjang 2014 melalui pemantauan berterusan. Walaupun begitu universiti memahami kedudukan negara dan cabaran ekonomi dan sejagat yang dihadapi tahun sebelumnya dan tahun ini,” tambah Omar.
“USM akan berkolaborasi dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa dalam libat sama komuniti serta mengeluarkan penarafan Sustainability Assessment Methodology (SAM) dan juga University Sustainability Ranking,” ulas Naib Canselor mengenai perancangan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor juga menyatakan pelbagai fokus aktiviti USM bagi tahun 2015 merangkumi pembinaan bangunan inkubator penyelidikan atau I2U di kampus SAINS @ USM Bukit Jambul, Toray USM Knowledge Transfer Centre, Kompleks Sukan Azman Hashim, penaiktarafan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara sebagai HiCoE Kementerian Pendidikan Malaysia dan melancarkan Program Endownment USM Bersama Yayasan USM. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2133