USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI KOMUNIKASI UAV BERASASKAN SATELIT USM-INDUSTRI TERIMA GERAN PPRN, PERKUKUH KEUPAYAAN RUANG UDARA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersama AIM Aerial Technologies Sdn. Bhd. menerima pengiktirafan di bawah Public-Private Research Network (PPRN) 2026, sekali gus menonjolkan kemajuan teknologi komunikasi pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk operasi kompleks dan jarak jauh.

Projek bertajuk “Satellite-Enabled UHF Communication for Beyond-Line-of-Sight UAV Tracking in UTM Applications” yang dipamerkan di Persidangan PPRN 2026 di Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur, memperkenalkan penyelesaian baharu terhadap cabaran utama operasi UAV iaitu komunikasi ‘beyond-line-of-sight’ (BLOS) yang lebih stabil dan boleh dipercayai.

Inisiatif ini diketuai oleh Dr. Norilmi Amilia Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM dengan kerjasama AIM Aerial Technologies Sdn. Bhd., membuktikan bagaimana gabungan kepakaran akademia dan industri mampu menghasilkan teknologi komunikasi UAV yang lebih canggih dan berdaya saing.

Projek ini memberi tumpuan kepada kelemahan sistem pengurusan penjejakan UAV (UTM) sedia ada yang bergantung kepada rangkaian komunikasi daratan seperti 5G LTE dan LoRa.

Sistem tersebut biasanya mengehadkan jarak penjejakan UAV kepada 2–5 kilometer di kawasan bandar dan 10–15 kilometer di kawasan luar bandar, sekali gus menyekat skop misi terutama di lokasi terpencil atau kurang infrastruktur.

Penyelesaian yang dibangunkan USM memperkenalkan seni bina komunikasi berasaskan satelit dengan menggabungkan pemancar-penerima ultra-high frequency (UHF) bersama sistem satelit orbit rendah (LEO).

Pendekatan ini membolehkan UAV menghantar data telemetri masa nyata termasuk kedudukan dan parameter operasi terus ke satelit, sebelum disalurkan ke stesen bumi dan platform kawalan berpusat.

Dengan tidak lagi bergantung kepada rangkaian daratan, sistem ini mewujudkan keupayaan penjejakan berterusan dan lebih kukuh merentasi kawasan yang luas serta sukar dicapai.

Lebih penting, sistem ini dibangunkan selaras dengan keperluan kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), khususnya berkaitan penggunaan spektrum UHF untuk komunikasi satelit.

Ini memastikan inovasi bukan sahaja meningkatkan prestasi teknikal, malah mematuhi kerangka peraturan negara, mengurangkan risiko gangguan, dan menyokong pelaksanaan berskala besar.

Dari sudut prestasi, projek ini dijangka meningkatkan keberkesanan sistem daripada 70 peratus kepada 90 peratus, sekali gus menambah kestabilan isyarat, mengurangkan kehilangan data, dan memperkukuh kesedaran situasi masa nyata.

Peningkatan ini bersamaan dengan lonjakan produktiviti operasi sebanyak 28.6 peratus.

Pada masa sama, rakan industri menjangkakan pertumbuhan hasil daripada RM300,000 kepada RM500,000 setahun, membuktikan potensi komersial teknologi ini.

Dengan sokongan geran bernilai RM110,000 di bawah kerangka PPRN, projek ini menjadi pelaburan berfokus yang bernilai tinggi dalam memperkukuh ekosistem UAV Malaysia.

Ia juga mencerminkan model matang kerjasama akademia–industri, di mana inovasi kejuruteraan digabungkan dengan kesediaan kawal selia dan aplikasi industri.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menekankan bahawa pembangunan ini adalah sebahagian daripada trajektori penyelidikan dan inovasi global: “Pada masa depan, sistem autonomi dan kawalan jauh akan ditentukan bukan oleh kemajuan teknologi yang terasing, tetapi oleh integrasi seni bina komunikasi yang kukuh dan mampu beroperasi merentasi sempadan, bentuk muka bumi, dan infrastruktur.”

Usaha ini mencerminkan penyelidikan translasi yang wajar diberi keutamaan oleh universiti, di mana asas kejuruteraan diperkembangkan menjadi sistem praktikal yang membentuk piawaian industri, mempengaruhi evolusi peraturan, serta menyumbang kepada kedaulatan teknologi,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan peranan universiti sebagai nod aktif dalam ekosistem inovasi global: “Dalam landskap inovasi yang saling berkait, mandat universiti penyelidikan bukan sekadar menghasilkan ilmu, tetapi mengatur kepakaran, mengurangkan ketidakpastian teknologi secara sistematik, dan mempercepatkan peralihan daripada penemuan kepada pelaksanaan.”

“Kolaborasi ini menunjukkan bahawa penyelidikan akademik yang kukuh, apabila diselaraskan dengan keutamaan industri, mampu menghasilkan penyelesaian yang unggul dari segi teknikal dan relevan di peringkat antarabangsa.”

Seperti yang diketengahkan di PPRN 2026, inovasi sebegini amat penting dalam mentakrif semula paradigma operasi sektor UAV.

Dalam era sistem udara semakin digunakan di kawasan luas dan pelbagai, keupayaan mengekalkan komunikasi BLOS yang boleh dipercayai bukan lagi sekadar aspirasi teknikal, tetapi satu keperluan asas.

Sumber: Dr. Norilmi Amilia Ismail, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, USM/Teks Asal: Privinkumar Jayavanan, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq 

  • Created on .
  • Hits: 40

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025