USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT KEPADA FUMIHIKO KONISHI DAN PROFESOR EMERITUS KEPADA ROSLANI ABDUL MAJID

Foto Tan Sri Fumihiko

PULAU PINANG, 17 September 2013 - Pengerusi Pengasas Texchem, Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi, 69, akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains sempena Upacara Konvokesyen USM Ke-48 Khamis ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, tokoh industri tersebut banyak terlibat dalam membantu USM dengan hubungan rapat dengan beberapa pusat pengajian di Kampus Kejuruteraan dan Kampus Induk yang sewajarnya dijadikan contoh usahawan yang berjaya.

Beliau berjaya menakhodai kira-kira 40 syarikat di bawah empayar Texchem yang terlibat dengan banyak industri pembuatan, perdagangan, runcit dan pelaburan termasuk Texchem Resources Bhd yang disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan kemudian dipindahkan ke Papan Pertama pada 28 Jun 2001.

“Ciri-ciri keusahawanan, berpandangan jauh dan kesungguhan beliau telah memainkan peranan penting dalam perkembangan Kumpulan Syarikat Texchem dari permulaan yang kecil sehinggalah hari ini menjadi syarikat pembuatan dan kumpulan perdagangan yang pelbagai, adalah nilai-nilai yang ingin kita serapkan dalam kalangan warga universiti,” kata Omar.

“Fumihiko Konishi adalah tokoh korporat, industri dan ahli perniagaan yang berjaya dan disegani dalam membina empayar yang mementingkan kepada keperluan saintifik, inovasi dan kreativiti serta berpandangan jauh serta pengembara antarabangsa yang bercita rasa tempatan, menghormati seni dan budaya tempatan serta menghargai kerjasama akrab di antara industri dan institusi ilmu untuk kejayaan masa hadapan yang gemilang,” tambah Omar lagi dalam Sidang Media mengumumkan Upacara Konvokesyen USM.

Jelasnya lagi, Fumihiko merupakan antara pendokong kuat hubungan antara industri melalui syarikatnya dengan USM melalui aktiviti-aktiviti persidangan, kerjasama penyelidikan, penasihat Panel Industri dan pengajian ijazah tinggi di dalam beberapa buah pusat pengajian.

Dilahirkan di Nanao, Ishikawa pada bulan Mac 1944 beliau menamatkan zaman persekolahannya di Sekolah Tinggi Nanao dan mendapat pendidikan tinggi di Tokyo University of Pharmacy & Life Sciences dengan Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan selepas itu melengkapkan pengajiannya di Universiti Malaya di bawah program pertukaran pelajar. Beliau mula menjejakkan kaki di Pulau Pinang pada tahun 1973 dengan menubuhkan syarikat Texchem pertamanya.

Foto Dato

Profesor Emeritus

Sementara itu Dekan Pengasas dan Pengarah Kampus Kesihatan pertama USM di Kubang Kerian Kelantan, Profesor Dato’ Dr. Roslani Abdul Majid, 69, akan dianugerahkan gelar Profesor Emeritus pada Upacara Konvokesyen yang sama.

Menurut Omar, jasa Profesor Dato’ Dr. Mohd. Roslani Abdul Majid terhadap pembangunan pendidikan Perubatan USM begitu besar dan bermakna dengan kejayaannya meletakkan asas yang kukuh untuk USM melahirkan sumber manusia perubatan yang holistik.

Mohd. Roslani terlibat merancang serampang tiga mata perkembangan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM yang meliputi aspek fizikal,sumber manusia dan program akademik dengan sasaran ambilan pelajar pertama dalam masa dua tahun dari tarikh penubuhan iaitu pada 1981 dan penyerahan bangunan hospital Kubang Kerian sebagai Hospital Pengajar USM (Hospital USM) pada penghujung 1982 yang berfungsi secara rasmi pada bulan Oktober 1983

“Beliau turut merancang untuk fasa seterusnya iaitu pembinaan Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, memecahkan tradisi dengan menghantar Pensyarah Pelatih ke Belgium untuk mendapatkan kelayakan kepakaran.Langkah beliau ini terbukti tepat dan melenyapkan kritikan sinis sebelum itu apabila prestasi mereka yang dilatih di sana membanggakan,” kata Omar lagi.

Mohd. Roslani terlibat dalam mereka-bentuk kurikulum yang di susun-galur berupa apa yang kini dikenali sebagai kurikulum SPICES iaitu: S-Systematic

P-Problem Based and Problem Solving; I-Integrated; C-Community Based; E-Electives dan S-Spiral dengan menggabungkan unsur-unsur ini, CFCS (Community & Familly Case Studies) diperkenalkan dengan setiap pelajar yang ditempatkan kepada satu keluarga untuk memberi pemahaman yang lebih holistik berkaitan kesihatan dan isu-isu berkaitan kesihatan dalam masyarakat. Pelajar bertindak sebagai agen perubahan dan kesannya keluarga lebih reseptif terhadap nilai pendidikan serta menyemarakkan motivasi dalam kalangan anak-anak mereka.

Jelas Omar lagi, Mohd Roslani turut membangunkan program Sarjana Perubatan dan memperkasakan program latihan pasca-siswazah tempatan yang kini telah berkembang dalam hampir kesemua bidang pengkhususan dan sub-pengkhususan perubatan dan turut mengenalpasti bidang dan membangunkan penyelidikan biomedical yang berjaya menghasilkan Saintis Muda negara yang digondol oleh USM selama 4 tahun berturut-turut. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1771

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024