USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN 25 TAHUN KKTSS: USM PERKUKUH PERANAN DALAM EKOSISTEM KEJURUTERAAN DAN SEMIKONDUKTOR NEGARA

NIBONG TEBAL, 25 Julai 2026Sambutan 25 Tahun Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin menjadi manifestasi komitmen Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memperkukuh pembangunan bakat kejuruteraan, penyelidikan serta inovasi yang menyokong pertumbuhan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara.

Sambutan itu turut mengimbau sejarah penubuhan kampus yang pada asalnya beroperasi di Seri Iskandar, Perak sebagai Kampus Cawangan Perak (KCP) sebelum berpindah ke Pulau Pinang pada 2001 dan dikenali sebagai Kampus Kejuruteraan.

Pada 22 Januari lalu, kampus itu dimasyhurkan oleh Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.

Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said berkata, sepanjang 25 tahun penubuhannya, kampus itu telah melahirkan ribuan graduan, memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta membina jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.

"Dalam landskap global yang dipacu teknologi, transformasi digital dan perubahan ekonomi, institusi pendidikan tinggi perlu terus memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluaskan kerjasama dengan industri serta memperkasa penyelidikan dan inovasi agar kekal relevan sebagai pemacu pembangunan negara.

"USM komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kompetensi, pemikiran kritis, kreativiti dan kebolehsuaian yang tinggi.

“Pada masa sama, universiti akan terus memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi melalui kerjasama erat dengan rakan strategik daripada sektor industri dan agensi berkaitan," katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkembangan pesat industri E&E, khususnya sektor semikonduktor serta teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Kebendaan (IoT), pusat data dan kenderaan elektrik (EV), menuntut usaha berterusan dalam memperkukuh pendidikan dan latihan kejuruteraan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kejayaan Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin sepanjang 25 tahun bukan sekadar diukur melalui kecemerlangan akademik, malah keupayaannya menghubungkan pengajaran, penyelidikan, inovasi serta jaringan strategik bersama industri dan komuniti.

Beliau berkata, kerjasama strategik yang dijalinkan merangkumi pembangunan kursus elektif, pelaksanaan penyelidikan bersama, penambahbaikan kemudahan makmal serta sumbangan peralatan industri yang memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

"Sambutan ini bukan sekadar meraikan sejarah dan pencapaian kampus sepanjang 25 tahun berada di Pulau Pinang, malah menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti, industri dan kerajaan dalam mendepani cabaran teknologi masa hadapan," katanya.

Beliau menegaskan, keupayaan USM dalam memperkukuh penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa turut diiktiraf apabila universiti melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-128 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia.

“Pencapaian itu mencerminkan kekuatan ekosistem akademik dan penyelidikan universiti yang turut disokong oleh keupayaan Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) sebagai antara pemacu utama kecemerlangan USM,” tegas beliau.

Dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara, kampus berkenaan turut memainkan peranan penting menerusi pelaksanaan program pembangunan bakat bersama industri. Antaranya, USM dilantik sebagai ketua penyelaras Konsortium E&E bagi Program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang melibatkan kerjasama 20 universiti awam bagi melahirkan graduan sedia industri.

Keupayaan penyelidikan kampus itu turut diperkasakan melalui peranan Pusat Usahasama Kecemerlangan Reka Bentuk Mikroelektronik (CEDEC) dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design) menerusi kerjasama strategik bersama syarikat semikonduktor global, sekali gus menyokong aspirasi negara memperkukuh ekosistem reka bentuk cip dan pembangunan bakat semikonduktor.

Pada masa sama, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dijangka terus memainkan peranan strategik dalam menyokong pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara, melalui kepakaran dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan industri E&E serta menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke wilayah berkenaan.

Majlis berkenaan turut menghimpunkan wakil-wakil kementerian, rakan industri, alumni serta komuniti akademik bagi meraikan pencapaian Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, di samping memperkukuh komitmen bersama ke arah pembangunan bakat, teknologi dan inovasi yang menyokong aspirasi negara.

 

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), USM

  • Created on .
  • Hits: 261

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025