USM TERAJUI MISI KEWANGAN AWAM MALAYSIA KE LONDON DAN CAMBRIDGE, TEROKA KERJASAMA ANTARABANGSA

USM PULAU PINANG, 24 Julai 2026-- Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Bendahari terus memperkukuh reputasinya di peringkat antarabangsa apabila diiktiraf sebagai Penyelaras Tunggal Delegasi Malaysia ke Persidangan CIPFA Public Finance Live 2026 di London, United Kingdom, baru-baru ini.

Misi berprestij itu turut merangkumi program lawatan kerja serta penandaarasan strategik di Turkiye dan United Kingdom, dengan menghimpunkan seramai 30 delegasi berprofil tinggi terdiri daripada kepimpinan dan pegawai kanan kewangan sektor awam Malaysia.
Delegasi negara merangkumi Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ketua Akauntan kementerian, Pegawai Kewangan negeri serta wakil Bendahari universiti awam daripada pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Antara kementerian dan agensi Persekutuan yang menyertai misi itu ialah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Turut serta ialah Pejabat Kewangan Negeri (SUK) Johor, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Perlis dan Melaka, selain pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Kejayaan menghimpunkan wakil daripada pelbagai sektor itu membuktikan keupayaan USM sebagai institusi peneraju dalam membangunkan pembangunan kompetensi serta tadbir urus kewangan awam negara.

Antara kemuncak misi berkenaan ialah lawatan rasmi delegasi ke Cambridge Judge Business School (JBS), University of Cambridge yang disambut oleh barisan pengurusan tertinggi institusi itu diketuai Pengarah Hubungan Alumni dan Luar, David Whitaker.
Hasil perbincangan tersebut, Cambridge JBS menyatakan kesediaan menjalin kerjasama akademik strategik dengan USM menerusi Pusat Pengajian Pengurusan (School of Management, SOM).
Ia termasuk membangunkan Program Master in Public Sector Accounting with Data Analytics yang mengintegrasikan kursus elektif terpilih daripada Cambridge JBS bagi memperkukuh keupayaan analitik data serta akauntabiliti perakaunan akrual sektor awam di Malaysia.
Sebagai susulan, Cambridge JBS turut dijadual mengadakan lawatan balasan ke Kampus USM Pulau Pinang pada September 2026 bagi memeterai memorandum persefahaman (MoU/MoA).
Pengiktirafan serta kesediaan Cambridge Judge Business School yang kini berada di kedudukan nombor satu dunia bagi program MBA untuk bekerjasama dengan USM membuktikan kredibiliti tinggi USM di persada antarabangsa.
Sepanjang penyertaan dalam Persidangan CIPFA Public Finance Live 2026 di Olympia, London, USM turut meneroka peluang memperoleh status Accredited Training Provider (ATP) bersama Chartered Institute of Public Finance and Accountancy (CIPFA).
Status berkenaan bakal membolehkan USM menawarkan program kelayakan profesional perakaunan sektor awam bertaraf antarabangsa untuk rantau ini.
Delegasi USM yang diketuai Timbalan Bendahari, Abdul Mu'izz Abdul Aziz, turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Dato' Indera Dr. Azfar Mohamad Mustafar serta Pengarah Education Malaysia London (EML), Prof. Madya Dr. Mohd Hanafi Ahmad Damanhuri.
Dalam pertemuan rasmi itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia menyatakan sokongan diplomatik penuh terhadap usaha USM menjadikan penyelarasan delegasi kewangan awam Malaysia ke persidangan CIPFA UK sebagai program tahunan berskala nasional.
Pelaksanaan misi berstruktur itu bukan sahaja meningkatkan kompetensi serta jalinan rangkaian kepimpinan kewangan awam negara, malah menyokong agenda pengukuhan model kewangan mampan dan kepelbagaian sumber pendapatan universiti.
Penganjuran misi berimpak tinggi itu sekali gus mengukuhkan peranan USM dalam menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia, selain memposisikan universiti awam negara sebagai peneraju tadbir urus kewangan bertaraf dunia.
Teks & Foto: Ahmad Shahir Hassan, Jabatan Bendahari, USM
- Created on .
- Hits: 356