USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM PENGKOMPOSAN USM SEMAI BUDAYA LESTARI DALAM KALANGAN MURID SJK(T) PERAI

USM PULAU PINANG, 25 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) menganjurkan Program Composting for a Greener Perai di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Perai bagi memupuk budaya pengkomposan dan meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa secara lestari dalam kalangan murid sekolah.

Program yang mendapat sokongan serta peruntukan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu merupakan antara inisiatif memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar di peringkat komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Sundarajoo Somu, yang menegaskan bahawa pendidikan alam sekitar perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, amalan pengkomposan bukan sahaja mampu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menyokong usaha mewujudkan komuniti yang lebih bersih, hijau dan mampan.

“Program seperti ini wajar diperluaskan ke lebih banyak sekolah di Pulau Pinang melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, institusi pendidikan dan masyarakat bagi membudayakan amalan pengurusan sisa yang lestari,” ujar beliau.

Sementara itu, ketua projek yang juga pensyarah PPPJJ, ChM Dr. Gunasunderi Raju pula berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai konsep pengkomposan sebagai kaedah pengurusan sisa organik yang mesra alam.

Menurut beliau, peserta didedahkan kepada kaedah mengurus sisa organik secara sistematik sebelum diproses menjadi baja kompos yang boleh dimanfaatkan.

Katanya, ilmu dan pengalaman yang diperoleh menerusi program itu diharap dapat diterapkan dalam kehidupan harian murid sekali gus membentuk budaya pengasingan sisa dan pengkomposan di rumah serta di sekolah.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan peruntukan yang disalurkan melalui MMK Alam Sekitar bagi menjayakan program berkenaan, selain menghargai kerjasama PPPJJ, pihak pengurusan SJK(T) Perai, guru, ibu bapa serta pasukan projek yang menjayakan pelaksanaannya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dekan PPPJJ, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob dan Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab, bersama wakil USM, pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa serta peserta program.

Program itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh amalan kelestarian alam sekitar menerusi pendidikan, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan mampan.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM

 

  • Created on .
  • Hits: 176

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025