USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAN SRI DATUK MUSTAFA MANSUR PRO CANSELOR KETIGA USM

DSC 0027

PULAU PINANG, 17 September 2013 - Ahli korporat yang merupakan alumni Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1973 – 1976, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, 72 dilantik sebagai Pro Canselor Ketiga universiti tersebut selama 5 tahun bermula 19 September ini setelah diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis selaku Canselor USM dan persetujuan Menteri Pendidikan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Mustafa adalah Tokoh Alumni USM pada 2002 yang berjaya mengukir nama di dalam negara mahu pun di pentas dunia akan dimasyhurkan oleh Canselor USM dalam Sidang Pertama Konvokesyen pada Khamis ini.

“Anak kelahiran Padang Gajah, Taiping, Perak ini, membuktikan kemampuan anak tempatan yang mendapat pendidikan dari institusi pengajian tempatan yang berupaya mengukir nama dan disegani melalui pencapaiannya dalam industri sehingga diberikan kepercayaan untuk menerajui beberapa badan yang berkaitan dengan industri dengan pengiktirafan oleh beberapa buah negara,” kata Omar.

Mustafa Mansur dilantik sebagai ahli Majlis USM (1978) dan kemudiannya secara berterusan sebagai ahli Lembaga Pengarah dan ahli Lembaga Gabenor USM sehingga 18 September 2013, satu jangka masa yang paling panjang dalam kalangan ahli Lembaga Pengarah mana-mana Universiti di negara ini.

Beliau juga mempengerusikan banyak Jawatankuasa Universiti termasuk pemilihan dan kenaikan pangkat, audit dalam serta juga yang terkini USains Holding Sdn. Bhd.

Asalnya Mustafa bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera namun kemudiannya lebih mendekati dunia pendidikan, korporat dan industri berinspirasikan kejayaan kaum kerabat terdekat dan saudara mara.

Menurut Omar lagi, Mustafa sangat aktif terutamanya dalam sukan khususnya hoki dan ragbi dan menjadi antara pelopor dalam penganjuran Pesta Hoki Antarabangsa USM dan pernah bermain untuk pasukan hoki USM malah turut menganjurkan Pertandingan Hoki Veteran bersempena dengan World Cup Hockey di samping mewakili Pulau Pinang dan Perak dalam permainan ragbi dan terlibat aktif dalam persatuan-persatuan pelajar di universiti termasuk Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan-persatuan Sukan, yang seharusnya menjadi seorang yang boleh dicontohi dalam kalangan mahasiswa Universiti.

“Mustafa dilantik mengetuai pelbagai pertubuhan perniagaan, industri dan kerajaan serta dilantik sebanyak dua kali menjadi Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) iaitu pada 2002-2005 dan 2009-2011 dan kini adalah juga Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia (MSAC),” jelas Omar lagi.

Mustafa turut dianugerahi bintang kehormatan dari Italy dan Sepanyol sebagai menghargai jasanya dalam menjalin hubungan rapat antara komuniti perniagaan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 3056

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024