USM NEWS PORTAL
USM@KL OPEN DAY 2026 BUKA LALUAN STRATEGIK PASCA SISWAZAH, PROFESIONAL DAN ANTARABANGSA
KUALA LUMPUR, 4 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pusat pendidikannya, USM@KL, menganjurkan USM@KL Open Day 2026 bagi membuka peluang kepada pelajar berpotensi, golongan profesional, alumni, dan pemohon antarabangsa untuk meneroka laluan pasca siswazah, pembangunan kerjaya serta pengajian bertaraf global.
Diadakan pada 3 hingga 4 Julai 2026 di USM@KL, Menara MOF Inc, Platinum Park, Persiaran KLCC, acara dua hari itu memberi akses terus kepada konsultasi akademik, laluan pengajian pasca siswazah, panduan kemasukan antarabangsa, dan peluang jaringan institusi di pusat bandar Kuala Lumpur.
USM@KL Open Day disusun khas untuk pemohon yang sedang mencari program akademik fleksibel, berorientasikan masa depan, dan relevan dengan keperluan industri.
Pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil USM, meneroka pilihan pengajian yang ditawarkan serta mendapatkan panduan peribadi mengenai kemasukan, struktur program, laluan penyelidikan, dan peluang pembangunan kerjaya.
Sebagai tarikan utama, pemohon yang layak berpeluang menerima Surat Tawaran Segera bagi program terpilih, sekali gus menikmati proses kemasukan yang lebih pantas dan mudah.
Sepanjang berlangsungnya Hari Terbuka itu, USM menawarkan pengecualian penuh yuran permohonan kepada 100 pemohon terawal yang melengkapkan pendaftaran.
Acara tersebut dijangka menarik minat eksekutif korporat, golongan profesional, alumni USM, calon pascasiswazah, dan pemohon antarabangsa yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berimpak tinggi dan relevan di peringkat global seperti Komunikasi, Analitik Perniagaan, Amalan Pembangunan Mampan dan Kelestarian Global.
Sorotan utama USM@KL Open Day tahun ini ialah usaha mengeratkan semula hubungan dengan alumni USM, sekali gus menggalakkan graduan kembali ke ekosistem universiti bagi meningkatkan kemahiran, memperluas penyelidikan, dan mengembangkan kerjaya.
Ini mencerminkan komitmen USM terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan bakat berterusan selaras dengan keperluan tenaga kerja semasa.
USM@KL Open Day turut menyediakan ruang interaksi khusus yang menghimpunkan fungsi akademik, pentadbiran, dan sokongan antarabangsa di bawah satu bumbung.
Antara yang disediakan termasuk ruang konsultasi bersama wakil pusat pengajian, sokongan nasihat pasca siswazah, perkhidmatan pengurusan akademik, dan bantuan kemasukan antarabangsa.
Bagi pemohon antarabangsa yang tidak dapat hadir secara fizikal, USM turut menyediakan akses maya melalui VooV Meeting, memastikan pelajar berpotensi dari luar negara kekal terhubung dengan proses kemasukan dan konsultasi.
USM@KL Open Day 2026 selaras dengan agenda pengantarabangsaan serta komitmen ketercapaian USM. Dengan memperkukuh kehadirannya di Kuala Lumpur, USM memperluas jaringan kepada golongan profesional, komuniti diplomatik, pemohon antarabangsa, rakan korporat, dan rangkaian alumni di Lembah Klang.
Dengan komuniti pelajar antarabangsa dari lebih 80 negara, USM terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti bertaraf global yang menawarkan pendidikan inklusif, mudah diakses, dan berorientasikan masa depan.
Sebagai satu-satunya universiti APEX (Accelerated Programme for Excellence atau Program Pemacuan untuk Kecemerlangan) di Malaysia, USM terus memimpin melalui kecemerlangan akademik, kelestarian, inovasi, dan peluang pendidikan inklusif.
Pencapaian global terkini universiti, termasuk prestasi cemerlang dalam kedudukan antarabangsa serta kepimpinan berterusan dalam kelestarian, semakin mengukuhkan kedudukan USM sebagai destinasi pilihan pelajar tempatan dan antarabangsa.
Melalui USM@KL, universiti membawa kekuatan kecemerlangan akademik, kepimpinan penyelidikan, dan reputasi global ke Kuala Lumpur, sekali gus membuka laluan istimewa bagi pelajar yang bercita-cita meningkatkan kerjaya, memperluas ilmu serta menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan progresif.
Selaras dengan motonya, Kami Memimpin, USM terus mengorak langkah dengan tujuan, prestij, dan aspirasi global, melahirkan graduan bersedia masa depan, menjalin kerjasama antarabangsa yang bermakna serta memperluas akses kepada pendidikan tinggi bertaraf dunia bagi Malaysia dan komuniti global.
Teks Asal: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan, MPRC@USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel :
All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025