USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIMPIN SISWA BINA SAHSIAH MAHASISWA

120913-a

PULAU PINANG, 12 September 2013 - Seramai 1,323 orang daripada lebih 4,684 orang mahasiswa baharu Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengikuti Program PIMPIN Siswa pada hujung minggu lalu yang akan berterusan selama 3 minggu berikutnya nanti di kem-kem yang terpilih di Kedah, Perak dan Terengganu.  

USM adalah satu-satunya universiti di negara ini yang membangunkan modul pembangunan sahsiah pelajar baharunya sendiri melalui program PIMPIN Siswa.  Semua mahasiswa baharu di kampus-kampus USM di dalam negara wajib mengikuti program ini manakala mereka yang mengikuti Program Perubatan USM di Belgaum India dijangka akan turut melalui pengalaman yang sama  yang  dijangka dilaksanakan untuk pertama kalinya pada bulan Oktober ini. 

120913-b

Timbalan Naib Canselor, Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) (TNC HEPP) USM, Profesor Dr. Adnan Hussein memberitahu program perdana ini dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dalaman universiti sebagai satu usaha untuk merealisasikan matlamat pembinaan sahsiah mahasiswa yang cemerlang. 

“Ia menekankan kepada konsep pembangunan pelajar yang berterusan berteraskan kepada kelestarian hari esok untuk menjayakan lapan teras utama Model Pembangunan Mahasiswa USM yang meliputi usaha memupuk semangat cintakan negara, bersifat patriotik dan menghormatinya, semangat cintakan universiti, pembangunan jati diri, membangunkan daya ketahanan diri, menyemai sikap lestari dalam kalangan pelajar, meningkatkan kemahiran insaniah, menyemai sifat kerohanian dan meningkatkan keupayaan intelektual mahasiswa,” tambah Adnan. 

120913-c

Jelas Adnan, menariknya, program  PIMPIN Siswa dilaksanakan melalui gabungan kerjasama yang sangat rapat di antara tenaga semua pihak dengan  melaksanakannya di kem-kem terpilih sebagai ketua kem, fasilitator dan sukarelawan dengan  mendekati serta memahami anak-anak muda secara dekat untuk turut sama secara berterusan membangunkan sahsiah diri dan keperibadian mereka sebagai mahasiswa universiti.

Sementara itu, Ketua Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar, Mohd Rashid Abdul Rejab memberitahu, dari jumlah 1,323 orang mahasiswa baharu yang mengikuti Program PIMPIN siswa  hujung minggu lalu, 878 orang adalah dari Kampus Induk Pulau Pinang, 161 orang dari Kampus Kejuruteraan dan 284 orang dari Kampus Kesihatan di sembilan  buah Kem di Kedah, Perak dan Terengganu.  

120913-d

“Cabaran besar yang dihadapi pada minggu pertama ini ialah apabila para peserta berhadapan dengan masalah cuaca hujan yang tidak menentu, namun para peserta bergembira dengan program yang dibuat walau pun sesetengahnya pertama kali mengikuti program seperti ini,” jelas Mohd. Rashid. 

Program PIMPIN Siswa ini dilaksanakan sejak tahun 2009 ketika Naib Canselor USM sekarang ini, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menjadi TNC HEPP setelah  USM dipilih  menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) untuk memperkasakan nilai diri dan sahsiah mahasiswa yang berkualiti, cemerlang dan seimbang daripada semua aspek termasuk akademik dan rohaninya.

120913-e

Sehingga kini, lebih 15,000 mahasiswa USM mengikuti program, termasuk sebahagiannya telah tamat pengajian dan kembali untuk membantu sebagai fasilitator dan sukarelawan bagi melaksanakan program ini. Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2614

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024