USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN 5th INTERNATIONAL USM CGSS x PaGamO PERKUKUH PENDIDIKAN ALAM SEKITAR MELALUI INOVASI DIGITAL

USM PULAU PINANG, 6 Mei 2026 - Pertandingan 5th International USM CGSS x PaGamO Environmental Education E-sports Game Competition (Malaysia) 2026 telah berakhir dengan jayanya pada 12 April, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap inisiatif inovatif ini.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.27.30
Dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan PaGamO, pertandingan tersebut berlangsung di SJK (C) Puay Chai, SS2 di Petaling Jaya, Selangor. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap Matlamat Pembangunan Mampan/Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memperkukuh pendidikan alam sekitar dengan mengintegrasikan tema alam sekitar ke dalam permainan e-sukan yang menarik.

Kejohanan tahun ini menghimpunkan 99 peserta yang bersemangat daripada sekolah rendah dan menengah di seluruh Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka dan Johor, mencerminkan peluasan capaian dan impak acara ini bagi memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Peserta bertanding dalam dua kategori, dengan Kategori A dikhususkan untuk murid sekolah rendah, manakala Kategori B untuk pelajar sekolah menengah dan peserta terbuka.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.27.57

Pertandingan tahun ini punyai ciri menonjol melalui gabungan unik antara permainan dan pendidikan. Ia menggabungkan pembelajaran alam sekitar dengan gamifikasi melalui platform Tzu Chi PaGamO. Peserta akan berinteraksi dengan gabungan elemen menarik antara permainan video dan cabaran berfokuskan kelestarian. Mereka meningkatkan kemahiran dalam pemikiran strategik, pengurusan sumber, pembinaan bandar maya dan penyelesaian masalah berasaskan kuiz.

Pertandingan ini menguji peserta merentas 12 tema utama kelestarian. Tema tersebut termasuk sumber air, pencemaran laut, perubahan iklim, pertahanan krisis, ekonomi kitaran, penjimatan tenaga, pencemaran udara, kitar semula, sumber makanan, hal ehwal semasa, pelepasan sifar bersih dan SDG. Kepelbagaian tema menjadikan kejohanan ini menarik serta kaya dengan pengetahuan yang relevan dengan cabaran global.

Sesi perkongsian pengetahuan turut diadakan bersama pakar daripada NGO, sektor swasta dan institusi pendidikan tinggi. Seramai 18 guru turut menyertai program ini dan memperoleh pandangan bernilai tentang pendidikan kelestarian. Antara tumpuan utama ialah sesi pengenalan mengenai SDG dan pembentangan mengenai ONE PASS Chart oleh Siow Eik Kwang dari Tzu Chi Malaysia.

Beliau berkongsi falsafah alam sekitar Tzu Chi dan pengalaman praktikal dalam mempromosikan kelestarian. Lee Bee Chu daripada Green Educators' Workgroup (GREW) membincangkan peranan dan tanggungjawab belia dalam mencapai SDG. Wakil pelajar Benjamin Beh pula berkongsi perspektif daripada generasi muda.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.28.28

Timbalan Pengarah Centre for Global Sustainability Studies (CGSS) USM, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, membentangkan “USM CGSS - Vision and Action Towards SDGs.” Beliau menghuraikan hala tuju dan aspirasi EPEHub serta ‘Centre For Education and Training In Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology’ (CETREE) USM dalam memajukan pendidikan kelestarian.

Kejohanan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Wan Samsuri Wan Hassan. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, CGSS, Dr. Mohd Sukri Shafie.
Pengunjung meneroka pameran SDG yang dianjurkan oleh Tzu Chi Malaysia, yang menarik minat terutama daripada ibu bapa dan keluarga.

Acara ini menerima sokongan daripada organisasi termasuk GREW, Swisspac Resources Sdn. Bhd., The Prestige Hotel, Masmeyer Foundation, San & Associates, OKS Group, ViTrox Foundation dan Unitech QS Consultancy Sdn. Bhd. Sokongan ini mencerminkan komitmen bersama terhadap pemuliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.28.49
Peserta Malaysia menunjukkan prestasi membanggakan apabila meraih tempat kelima, keenam dan kesepuluh dalam Kategori B mengatasi peserta dari Taiwan dan Thailand. Penganjur mengumumkan bahawa Kejohanan 6th USM CGSS x PaGamO akan dibuka untuk pendaftaran tidak lama lagi dan diteruskan ke tahun 2026/2027.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.28.51

Ng berkata, “Secara keseluruhannya, Pertandingan 5th International USM CGSS x PaGamO berjaya menunjukkan bagaimana integrasi teknologi, pendidikan dan hiburan boleh mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta berimpak tinggi.”

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.28.53

“Diharapkan inisiatif seperti ini dapat memupuk generasi yang lebih sedar, bertanggungjawab dan komited dalam memelihara kelestarian alam sekitar,” tambah beliau.

WhatsApp Image 2026 05 06 at 11.28.54

Teks & Foto: Dr. Mohd Sukri Shafie, CETREE, CGSS, USM; Syafiq Saifullah Azmi, & Hong Kheng Jhun, CGSS, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 22

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025