USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT EXCELERATE SDN. BHD. PERKUKUH KERJASAMA PEMBANGUNAN BAKAT MAHASISWA

PULAU PINANG, 16 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Excelerate Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengerusinya, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Mukhriz, di Bilik Persidangan Canselori (CCR), Aras 6, Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia.

Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Mukhriz bersama delegasi Excelerate Sdn. Bhd. disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azizah Omar, serta pegawai-pegawai utama universiti.

Kunjungan hormat tersebut antara lainnya bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara USM dan Excelerate dalam memperkasa pembangunan bakat mahasiswa melalui program peningkatan kemahiran profesional, kebolehpasaran graduan serta pendedahan kepada keperluan industri semasa.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk maklum balas pelaksanaan program K-Youth Track B, cabaran penyelarasan program bersama Pusat Pengajian, usaha meningkatkan komitmen penyertaan pelajar serta penyelarasan tempoh latihan industri agar lebih memenuhi kehendak industri.

Pertemuan ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara USM dan Excelerate dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sejajar dengan keperluan industri masa kini.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 252

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025