USM PERKUKUH INISIATIF PELAJAR JAYA KAMPUS SEJAHTERA
PULAU PINANG, 12 September 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan memanfaatkan idea-idea pelajar untuk menjayakan Kampus Sejahtera selari usaha memastikan pendidikan untuk pembangunan lestari dapat diperkukuhkan selaras dengan penekanan dalam menjayakan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX).
Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menjelaskan, USM sangat menghargai idea-idea daripada pelajar dalam menjayakan hasrat ini dan bersedia mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjayakan usaha tersebut.
“Langkah ini penting sebagai sebahagian daripada proses pendidikan untuk mereka teruskan apabila meninggalkan kampus universiti kelak dan berada dalam kalangan masyarakat,” kata Omar.
Beliau menjelaskan hal ini dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini.
Tambahnya, USM juga berhasrat melibatsama pelajar dalam aktiviti kelestarian dan memberikan apa jua sokongan yang perlu bagi meneruskan dan memastikan konsep kelestarian akan terus menjadi amalan.
“Yang utamanya ialah kita ingin sebanyak mungkin membentuk pasukan-pasukan sukarelawan yang dapat merealisasikan hasrat ini,” kata Omar.
Naib Canselor USM itu turut melancarkan Kempen Pengurangan Penggunaan Kertas bagi meneruskan kesinambungan kempen-kempen kelestarian seperti ‘Say No to Plastic Bag’ dan juga kempen ‘Keranda Putih’ yang bermula di kampus USM.
Menurut beliau amalan lestari yang boleh diamalkan adalah dengan memaksimumkan pengunaan email dan juga media elektronik dalam urusan seharian. Dengan itu, penggunaan kertas dapat dikurangkan serta dapat maklum balas dengan lebih cepat dan mudah selain dapat menyelamatkan pokok-pokok daripada terus ditebang.
“Kempen pengurangan kertas ini adalah bagi mengajak semua warga kampus menjimatkan penggunaan kertas dan juga dakwat. Amalan ini bukan sahaja mengurangkan penghasilan sampah malah menjimatkan kos pengurusan pejabat,” jelas Penyelaras Sekretariat Kampus Sejahtera, Mohamad Shafiq Abdul Aziz.
Menurut Mohamad Shafiq, sambutan dalam kalangan pelajar baharu terutamanya amatlah menggalakkan dan di luar jangkaan dalam pelbagai aktiviti diadakan termasuk perjumpaan dan pendaftaran sukarelawan di sekitar dewan-dewan kuliah.
Seluruh warga kampus diharapkan menyokong kempen yang diadakan ini dengan mengurangkan penggunaan kertas serta berfikir dahulu sebelum mencetak.
Warga kampus USM diminta untuk turut menjayakan usaha ini dengam sentiasa melakukan amalan hidup yang lestari terutamanya dalam kalangan persekitaran kerja melalui amalan berasaskan konsep Mengguna semula, Mengurangkan penggunaan dan Mengkitar semula atau 3R (Reuse, Reduce, Recycle) termasuk menggunakan kertas di kedua-dua belah muka surat serta mencetak mengikut keperluan semasa menjalankan kerja-kerja di jabatan. Teks: Mohamad Abdullah & Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1461