USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PHS USM SEMARAKKAN PESTA BUKU ASEAN PULAU PINANG 2026

PULAU PINANG, 13 Julai 2026 -  Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS), Universiti Sains Malaysia (USM) menyemarakkan Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang 2026 menerusi pelbagai program berteraskan ilmu, penyelidikan dan pembangunan komuniti yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), baru-baru ini.

Sebagai antara rakan strategik pesta buku berkenaan, PHS USM menganjurkan pelbagai aktiviti yang memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu serta platform perkongsian pengetahuan, penyelidikan, inovasi dan penglibatan masyarakat.

Antara pengisian utama ialah siri Podcast Naratif Pustaka yang menampilkan lima sesi perkongsian bersama tokoh akademik, pustakawan dan pakar dalam pelbagai bidang.

Siri podcast itu membincangkan pelbagai isu berkaitan perkembangan dunia perpustakaan dan akademia menerusi tajuk Dari Arkib USM: Bagai Sirih Pulang ke Gagang, Merungkai Tinta Kisah Orang Pustaka: Sesi Telaah Memoir Pustakawan, Bicara PPM Utara: Menelusuri Perubahan, Mencorak Masa Hadapan, Sains Terbuka: Dari Makmal ke Masyarakat serta Literasi Maklumat dan Kecerdasan Buatan (AI): Peranan Perpustakaan dalam Era Digital.

PHS turut menganjurkan sesi Ramah Mesra Bersama Penulis Buku Memoir Pustakawan 2.0, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan penulis, berkongsi pengalaman serta mengenali dengan lebih dekat profesion kepustakawanan.

Dalam usaha memperluaskan impak perpustakaan terhadap kesejahteraan masyarakat, PHS dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Wilayah Utara turut mengadakan Program Biblioterapi: Terokai Diri dan Emosi.

Program itu memperkenalkan biblioterapi sebagai pendekatan yang menggunakan bahan bacaan bagi menyokong kesejahteraan emosi, meningkatkan pemahaman kendiri serta menggalakkan perkembangan diri, sekali gus menyerlahkan peranan perpustakaan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti melalui ilmu dan pembacaan.

Sepanjang empat hari penganjuran, reruai PHS USM menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan, koleksi, penerbitan, penyelidikan serta pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh perpustakaan.

Penyertaan dalam pesta buku itu turut membuka peluang kepada PHS memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi, agensi dan komuniti, di samping mempromosikan perpustakaan sebagai pusat rujukan ilmu yang dinamik dan inklusif.

Penglibatan aktif PHS dalam Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang 2026 mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa budaya ilmu, menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan manfaat kepakaran dan penyelidikan universiti kepada masyarakat.

Melalui pelbagai program yang dianjurkan, PHS terus memainkan peranan sebagai pemangkin perkongsian ilmu, pemeliharaan warisan, inovasi akademik dan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi USM untuk memacu kecemerlangan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Teks & Foto: Nur Afiqah Mohd Shukri, PHS USM

  • Created on .
  • Hits: 236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025