PROGRAM MESRA 2026: MAHASISWA USM SANTUNI KOMUNITI ORANG ASLI DI RAUB

USM PULAU PINANG, 10 Julai 2026 – Seramai 20 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) merentasi sempadan budaya menerusi penganjuran Program ‘Multicultural Exchange and Service for Rural Areas’ (MESRA) 2026 bersama komuniti Orang Asli di Raub, Pahang, baru-baru ini.
Program selama tiga hari itu dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) USM dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Satak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Satak, yang merupakan institusi pendidikan utama masyarakat Orang Asli di daerah berkenaan.
Selain dua pegawai pengiring, program berteraskan pendidikan, kesukarelawanan, dan pertukaran budaya itu turut menghimpunkan lebih 70 pelajar sekolah dan 25 guru.
Pengarah Projek MESRA 2026, Nurul Izzati Zamri berkata, program itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar secara langsung mengenai keunikan warisan komuniti berkenaan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
"MESRA bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi platform dua hala untuk mahasiswa dan komuniti saling belajar serta memahami perspektif kepelbagaian budaya di Malaysia," katanya di sini.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan termasuk Bengkel Anyaman Tradisional, Sukan Tradisional, Bengkel Tarian Tradisional, dan slot rewang yang memperkenalkan makanan tradisi suku kaum itu seperti 'Aserom' dan Sambal Hitam Pahang.
Menariknya, bagi Bengkel Anyaman Tradisional daun kelapa, pelajar sekolah bertindak sebagai tenaga pengajar kepada mahasiswa, sekali gus membuktikan perkongsian ilmu boleh berlaku secara inklusif di luar menara gading.
Sementara itu, Penggawa Desasiswa Restu USM, Dr. Lim Chee Ann pula berkata, pengisian program berkenaan juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya membabitkan pendidikan berkualiti dan mengurangkan ketidaksamaan.
"Pengalaman luar kampus ini penting bagi memupuk nilai empati, kepimpinan, dan tanggungjawab sosial yang sukar diperoleh sepenuhnya di dalam bilik kuliah. Ia juga sejajar dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan holistik yang peka terhadap isu masyarakat," jelasnya.
Kemuncak program diserikan dengan penganjuran 'Malam Pesona Asli' yang menyaksikan persembahan kebudayaan gabungan tarian tradisional Orang Asli oleh pelajar sekolah dan tarian Melayu oleh mahasiswa MPDR.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Saiful Azuan Zainal Abidin dan penduduk kampung setempat.
Teks & Foto: Dr. Lim Chee Ann, Penggawa Desasiswa Restu, USM
- Created on .
- Hits: 131