USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LENGKAPKAN JELAJAH EMPAT LOKASI, BRAND CLINIC PERKUKUH PENJENAMAAN KORPORAT

PULAU PINANG, 10 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) kini memasuki fasa baharu dalam memperkukuh penjenamaan korporat universiti apabila semua pusat tanggungjawab (PTJ) di empat lokasi utamanya telah diberikan pendedahan berkaitan penggunaan identiti visual, penyelarasan bahan komunikasi dan kepentingan keterlihatan institusi yang konsisten.

Pelaksanaan Program Jelajah Pemerkasaan Keterlihatan dan Identiti Visual USM oleh Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor USM bertujuan memperkenalkan garis panduan penggunaan logo, selain memastikan setiap komunikasi yang membawa nama universiti memperlihatkan tahap profesionalisme, kredibiliti dan kualiti yang selaras dengan kedudukan USM sebagai sebuah universiti global.

Bertemakan “Satu Logo, Satu Identiti”, siri jelajah tersebut telah dilaksanakan di Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kesihatan di Kelantan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin di Nibong Tebal dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Bertam.

Sepanjang program, warga universiti daripada pelbagai PTJ diberikan penerangan mengenai standard penggunaan logo rasmi, susun atur identiti visual, pengurusan bahan penerbitan, platform digital serta medium promosi yang perlu mematuhi garis panduan korporat universiti.

Sesi Brand Clinic yang diadakan turut membolehkan peserta mendapatkan konsultasi secara langsung daripada pasukan MPRC berkaitan isu sebenar yang dihadapi oleh PTJ, termasuk penggunaan logo, pemilihan elemen visual, reka bentuk bahan promosi dan penyampaian identiti universiti kepada khalayak dalaman serta luaran.

Menurut Pengarah MPRC, Latifah Abdul Latif, penyempurnaan siri jelajah itu menandakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan segala panduan yang dikongsikan benar-benar diterjemahkan dalam amalan komunikasi setiap PTJ.

“Selepas semua pusingan jelajah diselesaikan, harapan universiti adalah supaya setiap PTJ tidak lagi melihat identiti visual sebagai elemen reka bentuk semata-mata. Ia perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja, proses semakan dan tatacara penerbitan rasmi di peringkat masing-masing.

“Setiap bahan yang memaparkan nama dan logo USM merupakan representasi universiti. Oleh itu, ketepatan, keseragaman dan kualiti penyampaiannya perlu diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan identiti korporat penting bagi memastikan USM dapat dilihat dan dikenali melalui satu imej institusi yang jelas, profesional serta konsisten, tanpa mengira kampus, PTJ atau platform yang digunakan.

Katanya, MPRC akan terus memainkan peranan sebagai peneraju dan rakan strategik dalam membantu PTJ memperkukuh penyampaian komunikasi, di samping memastikan setiap aktiviti, kepakaran, pencapaian dan sumbangan universiti mendapat keterlihatan yang bersesuaian.

“Usaha MPRC selepas ini bukan hanya tertumpu kepada pematuhan penggunaan logo, tetapi juga kepada bagaimana kekuatan dan pencapaian USM dipersembahkan dengan lebih tersusun, strategik dan berimpak.

“Keterlihatan yang baik perlu dibina melalui kandungan yang berkualiti, penyampaian yang tepat dan identiti yang konsisten agar masyarakat dapat mengenali nilai, kepakaran dan sumbangan sebenar universiti,” katanya lagi.

MPRC juga akan meneruskan khidmat konsultasi dan bimbingan kepada PTJ bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan penjenamaan, penerbitan dan komunikasi korporat, selain menggalakkan setiap PTJ mewujudkan proses semakan dalaman sebelum sesuatu bahan diterbitkan kepada umum.

Penyempurnaan jelajah di keempat-empat lokasi itu menjadi landasan kepada penjenamaan USM yang lebih bersepadu, dengan setiap PTJ berperanan memperkukuh identiti, reputasi dan keterlihatan universiti di peringkat nasional serta antarabangsa.

Teks: Theva Sarma Gopala Krishnan/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan @ MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 310

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025