USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH TADBIR URUS MELALUI SESI CABUTAN UNDI KERJA BAIK PULIH 2026

USM PULAU PINANG, 9 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti apabila menganjurkan Sesi Cabutan Undi Kerja Baik Pulih Tahun 2026 anjuran Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), yang berlangsung di Auditorium INFORMM, Kampus Induk USM, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah JPPF, Mohd Salmi Ismail, serta dihadiri pegawai-pegawai kanan Universiti, wakil Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, dan wakil Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Pulau Pinang.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Salmi berkata, penganjuran sesi cabutan undi pada tahun ini merupakan tahun keenam dilaksanakan oleh USM sebagai mekanisme pemilihan kontraktor bagi kerja-kerja baik pulih secara terbuka, adil, dan telus.

Beliau berkata, penyertaan yang memberangsangkan daripada kontraktor di seluruh Pulau Pinang membuktikan keyakinan berterusan pihak industri terhadap sistem pengurusan kerja baik pulih yang dilaksanakan oleh universiti.

"Alhamdulillah, penyertaan yang tinggi ini menunjukkan keyakinan pihak kontraktor terhadap sistem pelaksanaan kerja baik pulih yang diamalkan oleh USM," katanya.

Menurut beliau, setiap kontraktor yang berjaya dipilih diharap dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, mematuhi spesifikasi kerja dan garis panduan keselamatan universiti serta memastikan projek disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

"Kualiti hasil kerja yang baik bukan sahaja mencerminkan profesionalisme kontraktor, malah menyumbang kepada usaha memastikan penyelenggaraan serta pembangunan fasiliti universiti dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkualiti, dan berkesan,"

Pada majlis yang sama, Mohd Salmi turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai USM, wakil Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, wakil Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Pulau Pinang, serta seluruh warga JPPF, Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), dan Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan penganjuran program tersebut.

Sesi cabutan undi yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi JPPF itu melibatkan tawaran sebanyak 37 kerja baik pulih yang merangkumi tiga kategori utama, iaitu kerja-kerja mekanikal, elektrik, dan awam.

Bagi memastikan proses pemilihan berlangsung secara telus, pemeriksaan terhadap peralatan cabutan undi telah dilaksanakan terlebih dahulu sebelum cabutan dimulakan, disaksikan oleh wakil-wakil universiti dan wakil persatuan kontraktor yang hadir.

Kontraktor yang berjaya dipilih akan menghadiri sesi semakan, lawatan tapak, dan pengesahan penerimaan tawaran kerja di Pejabat JPPF bermula 10 hingga 14 Julai 2026, sebelum kerja-kerja baik pulih dilaksanakan di Kampus Induk USM.

Penganjuran sesi cabutan undi ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam mengamalkan prinsip ketelusan, akauntabiliti, dan integriti dalam pengurusan perolehan, di samping memastikan penyelenggaraan fasiliti universiti dapat dilaksanakan secara sistematik, berkualiti, dan memberi manfaat kepada seluruh warga kampus.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Syed Azreezal Syed Ahmad Mufazzal, Pusat Teknologi Pengajaran dan Mutimedia (PTPM), USM

  • Created on .
  • Hits: 246

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025