LEGASI TUN HANIF OMAR DAN RAWATAN KANSER DIANGKAT DALAM DUA TERBITAN BAHARU PENERBIT USM
PULAU PINANG, 9 Julai 2026 – Bersempena dengan Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang 2026 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Penerbit Universiti Sains Malaysia (Penerbit USM) telah menganjurkan Majlis Prapelancaran buku ‘Where Honour Stood: The Life and Legacy of Tun Hanif Omar’ dan ‘Kanser: Terapi Perubatan Moden, Herba dan Islam.’
Majlis tersebut telah berlangsung pada 6 Julai 2026 di Pentas B, Dewan 2, Penang Waterfront Convention Centre dan disempurnakan oleh Pengarah Penerbit USM, Profesor Dr. Goh Sang Seong.

Kedua-dua judul ini dipilih kerana membincangkan isu dan tokoh yang dekat dengan masyarakat Malaysia.
Judul pertama, ‘Where Honour Stood: The Life and Legacy of Tun Hanif Omar,’ merupakan sebuah biografi yang merakamkan kisah kehidupan, legasi, dan ketokohan Allahyarham Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara yang paling muda dilantik serta paling lama berkhidmat dalam sejarah Polis Diraja Malaysia.

Buku setebal 314 halaman ini menghimpunkan pelbagai pengalaman dan kenangan bermula dari zaman pendudukan Jepun, era ancaman komunis, peristiwa 13 Mei, tragedi Memali hinggalah ke detik-detik akhir kehidupan beliau.
Lebih istimewa, buku ini ditulis oleh anak sulung Allahyarham Tun Hanif Omar, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar, bersama Zaidi Azmi, seorang wartawan yang banyak terlibat dalam wawancara bersama Allahyarham Tun Hanif Omar.
Judul kedua, ‘Kanser: Terapi Perubatan Moden, Herba dan Islam,’ mengetengahkan isu penyakit kanser yang semakin membimbangkan masyarakat.

Statistik menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat kanser terus meningkat dari tahun ke tahun.
Buku ini menghimpunkan penerangan yang komprehensif mengenai penyakit kanser daripada perspektif perubatan moden, terapi herba, dan pendekatan psikospiritual Islam.
Penulis turut menekankan bahawa rawatan kanser yang berkesan perlu bersifat holistik dengan menggabungkan aspek fizikal, emosi, mental, dan kerohanian bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Buku setebal 125 halaman ini dihasilkan oleh lima orang pensyarah USM bersama seorang doktor perubatan dari hospital swasta.
Dalam ucapan perasmiannya, Goh menegaskan bahawa Penerbit USM sebagai sebuah penerbit universiti sentiasa mengutamakan penerbitan karya ilmiah yang berkualiti dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun Penerbit USM kini memiliki imprin penerbitan popular, USM Popular, pihaknya tetap mengekalkan ketelitian dalam memilih manuskrip yang benar-benar berkualiti dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, Penerbit USM juga sentiasa menggalakkan para penulis menghasilkan karya dengan penuh keikhlasan agar ilmu yang disampaikan dapat difahami, dihayati, dan dimanfaatkan oleh pembaca dalam kehidupan seharian.
Majlis tersebut turut memberikan ruang kepada wakil penulis bagi kedua-dua judul untuk berkongsi secara ringkas mengenai kandungan dan inspirasi di sebalik penghasilan buku masing-masing kepada tetamu yang hadir.
Majlis Prapelancaran ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli-ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) yang diketuai oleh Presidennya, Dato' Meor Chek Hussien Mahayuddin; Persatuan Pesara Polis Pulau Pinang yang diketuai oleh Penasihatnya, Datuk Seri Dr. Chandran; serta Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang diketuai oleh Presidennya, Tuan Haji Mokhtar Omar.


Kehadiran mereka menyerlahkan penghargaan terhadap legasi kepimpinan Allahyarham Tun Hanif Omar di samping menyokong usaha Penerbit USM dalam memperkasakan budaya ilmu melalui penerbitan yang berkualiti dan relevan kepada masyarakat.
Teks: Mohd Zaidi Abdullah, Bahagian Pemasaran, Penerbit USM/Foto: Penerbit USM
- Created on .
- Hits: 465