SATU LOGO, SATU IDENTITI: MPRC PACU KESERAGAMAN JENAMA USM MELALUI SIRI KETIGA JELAJAH IDENTITI VISUAL DI KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN

NIBONG TEBAL, 9 Julai 2026 – Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan jenama universiti menerusi penganjuran siri ketiga Program Jelajah Pemerkasaan Keterlihatan dan Identiti Visual USM yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, hari ini.
Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik MPRC dalam memastikan penggunaan identiti visual rasmi USM dilaksanakan secara lebih tersusun, konsisten dan selaras di semua kampus, khususnya dalam bahan komunikasi, penerbitan, promosi serta penyampaian maklumat rasmi universiti.
Mengangkat tema “Satu Logo, Satu Identiti”, program tersebut menghimpunkan warga universiti daripada pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) bagi memperkukuh kefahaman terhadap penggunaan logo rasmi USM, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keseragaman identiti korporat sebagai cerminan profesionalisme, kredibiliti dan reputasi institusi.
Sepanjang program, para peserta diberi pendedahan mengenai garis panduan penggunaan logo rasmi USM, kaedah aplikasi identiti visual yang tepat, kesalahan-kesalahan lazim dalam penggunaan bahan penjenamaan, serta piawaian komunikasi visual yang perlu dipatuhi bagi memastikan imej universiti sentiasa dipersembahkan secara profesional dan berimpak.
Program ini turut menampilkan sesi Brand Clinic, iaitu ruang konsultasi secara langsung antara warga universiti dan pasukan MPRC bagi mendapatkan panduan, penjelasan serta khidmat nasihat berkaitan isu penjenamaan, penggunaan logo, reka letak bahan rasmi dan pematuhan identiti korporat USM.
Menurut Pengarah MPRC, Latifah Abdul Latif; pengukuhan identiti visual memerlukan komitmen dan kerjasama seluruh warga USM bagi memastikan setiap bahan komunikasi yang dihasilkan menampilkan ketekalan dalam memperkukuh imej universiti dengan lebih professional dan mudah berwibawa.
“Kita tidak mahu identiti visual USM dilihat berbeza-beza mengikut PTJ. Sebaliknya, kita mahu setiap bahan yang keluar atas nama USM membawa cita rasa yang sama iaitu kemas, berwibawa, diyakini dan mencerminkan kekuatan universiti,” ujar beliau.
Siri di Kampus Kejuruteraan ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran siri pertama yang telah berlangsung di Kampus Induk, Pulau Pinang pada 10 Jun, diikuti siri kedua di Kampus Kesihatan, Kelantan pada 28 Jun lalu. Program jelajah ini dijadualkan melabuhkan tirainya menerusi siri keempat di Auditorium Sains@Bertam, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 10 Julai akan datang.
Penganjuran siri jelajah ini menunjukkan komitmen berterusan MPRC dalam membudayakan pematuhan terhadap identiti visual rasmi USM, di samping memastikan penyampaian komunikasi korporat universiti kekal konsisten, berkualiti dan selari dengan piawaian penjenamaan institusi.
Inisiatif ini juga menyokong aspirasi USM untuk terus memperkukuh keterlihatan jenama universiti, meningkatkan keyakinan pemegang taruh serta memposisikan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang menampilkan imej profesional, berwibawa dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Teks: Theva Sarma Gopala Krishnan/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan @ MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 256