NC DAN TNC HEPP MELAWAT RUMAH CENDAWAN USM
PULAU PINANG, 9 September 2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr. Adnan Hussein mengadakan lawatan untuk meninjau dari dekat tapak Rumah Cendawan USM yang diusahakan oleh Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis).
MyAgrosis telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 17 Disember 2011.
“Saya gembira dengan kejayaan mereka apatah lagi melihat penyertaan pelajar dalam program seperti ini dan mengharapkan ia dapat dikembang dan dimajukan biar pun selepas mereka meninggalkan kampus kelak,” kata Omar.
Seramai kira-kira 401 orang pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti keusahawanan melalui Kelab MyAgrosis yang dibimbing oleh mereka yang mahir dalam bidang ini seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Pulau (PPK) yang membawa kepakaran mereka dalam penanaman cendawan ke USM.
Tambah Omar, USM akan berusaha memanfaatkan pelbagai pihak lain dalam memberikan pendedahan, pendidikan dan dorongan untuk lebih ramai pelajar USM mengambil bahagian dalam aktiviti seperti ini.
Penanaman cendawan dan pembinaan Rumah Cendawan diselia oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar (PPKSP).
Kelab MyAgrosis menguruskan perjalanan aktiviti berkaitan rumah cendawan di samping turut terlibat dalam kursus-kursus pertanian dari semasa ke semasa.
Menurut Omar, pada tahun 2012, Kementerian Pertanian dan Asas Tani telah meluluskan dana sebanyak RM50,000 yang digunakan untuk pembinaan tapak, bangunan rumah cendawan dan penyediaan sebanyak 6,000 bongkah benih cendawan dengan jangkaan perolehan pendapatan apabila dituai adalah sebanyak RM16,000 seberat 1,800 kg.
Selain dari menguruskan Rumah Cendawan, Kelab MyAgrosis turut menjalankan perniagaan kedai K-Shoppe di Dataran Usahawan Desasiswa Tekun USM. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1768