USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA PENDIDIKAN INKLUSIF KUMPULAN RENTAN MELALUI PROJEK STEM DAN ESD

PULAU PINANG, 5 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui inisiatif Projek Kelestarian Universiti, telah melaksanakan program ‘Pengintegrasian STEM bagi Memacu Pendidikan Pembangunan Lestari (ESD) ke arah Pemerkasaan Pendidikan Berkualiti dan Inklusif’ yang melibatkan 30 orang pelajar sekolah menengah dari Wisma Yatim Pulau Pinang.

Program tersebut merupakan inisiatif kolaboratif antara beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) USM, iaitu Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), SAINS@USM, Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC), Pusat Biologi Kimia (CCB), dan Desasiswa Saujana, dengan kerjasama Pejabat Kelestarian Universiti serta Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.

Program tersebut turut mendapat sokongan rakan komuniti, Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang, dan rakan industri, ViTrox Academy.

Melalui pendekatan Pendidikan Pembangunan Lestari atau ‘Education for Sustainable Development (ESD),’ program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan STEM dalam kehidupan, pendidikan, dan pembangunan lestari.

 

Antara pengisian utama program termasuk sesi motivasi berkaitan kepentingan pendidikan tinggi dan laluan kerjaya, perkongsian mengenai potensi kerjaya STEM oleh IPPTN, serta lawatan makmal oleh CCB yang memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan mikroorganisma dalam kehidupan.

Selain itu, peserta turut mengikuti demonstrasi sains dan aktiviti interaktif berkaitan STEM, kepentingan air, dan pembangunan lestari oleh ABrC.

Program tersebut turut dilengkapi dengan sesi pengalaman industri bersama ViTrox Academy yang memberi gambaran tentang aplikasi STEM dalam dunia pekerjaan, inovasi teknologi, dan peluang kerjaya masa hadapan melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif.

Pelaksanaan program tersebut diharapkan dapat membina aspirasi pendidikan, meningkatkan minat terhadap STEM serta memperkukuh pengetahuan peserta tentang peranan sains dan teknologi dalam menyokong pembangunan lestari.

Melalui kerjasama strategik antara universiti, industri, dan komuniti, projek tersebut mencerminkan komitmen USM dalam mendukung agenda kelestarian universiti dan Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, ke arah keterangkuman sosial serta pemerkasaan akses pendidikan untuk semua.

 

Teks & Foto: Ahmad Firdaus Ahmad Shabudin, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM

  • Created on .
  • Hits: 231

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025