USM NEWS PORTAL
PPIK USM PERKUKUH HUBUNGAN UNIVERSITI-INDUSTRI-KOMUNITI MELALUI PROGRAM JALINAN KASIH MADANI
BALIK PULAU, 6 Julai 2026 – Semangat kebersamaan, kesukarelawanan, dan keprihatinan terhadap masyarakat terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa 2026: Jalinan Kasih MADANI dan Inisiatif CSR Global anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Alpha Industries Sdn. Bhd. dan Khariah Masjid Kampung Perlis, Balik Pulau yang berlangsung di Dataran MADANI Kampung Perlis.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti), Profesor Madya Dr. Asyirah Abdul Rahim yang hadir bersama, penganjuran Program Jalinan Komuniti MADANI itu mencerminkan komitmen PPIK USM dalam memperluaskan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui jaringan kerjasama strategik bersama rakan industri dan komuniti.
“Program seumpama itu selari dengan aspirasi USM untuk melahirkan warga yang berjiwa masyarakat, mengamalkan nilai kesukarelawanan, dan memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau menambah, “Melalui pelaksanaan program tersebut juga, PPIK USM menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 2: Kelaparan Sifar; SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik; SDG 4: Pendidikan Berkualiti; SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi; SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh; serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, selari dengan aspirasi USM sebagai sebuah universiti yang komited memperjuangkan agenda pembangunan mampan.”
Program yang berlangsung pada 4 Julai dan menghimpunkan warga universiti, industri, dan komuniti setempat itu dimulakan dengan aktiviti chairobik sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti gotong-royong yang berjaya menyemarakkan semangat kerjasama dan perpaduan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah gotong-royong keceriaan kampung, penyediaan bubur asyura oleh muslimat Kampung Perlis serta gotong-royong memasak juadah makan tengah hari bersama komuniti.
Ketua Penolong Pendaftar PPIK, Khairul Aswad Abd Aziz, berkata, “Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja menceriakan persekitaran kampung, malah menjadi platform untuk memupuk semangat saling membantu dan mengeratkan hubungan silaturahim antara semua peserta.”
Program turut disertai oleh 9 anak angkat dan delegasi dari Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Acheh; kakitangan Alpha Industries Sdn. Bhd.; staf PPIK; dan penduduk Kampung Perlis.
Kata Aswad lagi, “Penyertaan pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan kejayaan pendekatan kolaboratif dalam memperkasa agenda penglibatan komuniti yang memberi manfaat kepada semua pihak.”
Turut diadakan ialah Forum Keluarga Sakinah yang menampilkan panel daripada wakil Alpha Industries Sdn. Bhd. dan pensyarah PPIK USM.
Forum tersebut mengetengahkan perbincangan mengenai kepentingan institusi keluarga sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, berdaya tahan, dan berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Program diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang menjadi medan untuk memperkukuhkan jaringan persahabatan serta mempererat hubungan antara universiti, industri, dan komuniti setempat.
Teks: Bazilah Mohamad Zaki, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel :
All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025