IMPAK POLISI BEBAS TEMBAKAU DINILAI AKHIR TAHUN
PULAU PINANG, 10 Sept. 2013 – Impak terhadap keberkesanan program advokasi bagi membebaskan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) dari sebarang bentuk ‘penjajahan’ tembakau akan dinilai penghujung tahun ini.
Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata, satu laporan khas berhubung perkara itu akan dibuat bagi melihat sejauh mana kesan daripada usaha yang telah dijalankan pelbagai pihak dalam kampus.
Katanya, melalui laporan itu, USM akan dapat membuat penilaian dan tindakan berterusan bagi mendidik dan memupuk kesedaran lebih tinggi dalam kalangan warga kampus terhadap bahaya penjajahan tembakau baik kepada kesihatan mahu pun persekitaran.
``USM melaksanakan pelbagai usaha termasuk dari aspek pendidikan, pencegahan mahupun khidmat nasihat bagi menjayakan matlamat USM Bebas Tembakau (USMBT). Pada peringkat awal ini kita lebih menumpukan kepada aspek mendidik warga kampus.
``Kita juga telah memulakan kempen secara besar-besaran melalui papan-papan iklan, risalah, hebahan elektronik dan sebagainya untuk meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap polisi bebas tembakau ke tahap tertinggi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran USM Bebas Tembakau yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya di sini hari ini.
Tambah beliau, USM juga telah merekrut 1,500 pelajar terpilih dalam program bina upaya melalui tiga peringkat latihan termasuk kursus intensif promosi kesihatan, bengkel inisiatif bebas tembakau dan akhirnya melaksanakan projek komuniti berkaitan persekitaran bebas tembakau dalam dan luar kampus.
Dalam pada itu, Hilmi pula berkata, usaha jitu USM tersebut bertepatan dengan inisiatif kerajaan dalam menggalakkan masyarakat tampil dengan cara hidup sihat dan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.
``Penggunaan perkataan tembakau juga membawa maksud yang lebih besar iaitu bukan sekadar rokok sahaja yang dilarang sebaliknya merangkumi shisha, rokok elektronik dan sebagainya,’’ katanya.
Dalam pada itu, USMBT menjadi satu lakaran bersejarah kerana ia memperkukuh dan memperjelaskan komitmen pimpinan USM dalam melaksanakan inisiatif bebas tembakau, yang bertujuan untuk melindungi seluruh warga USM dan para pelawat daripada kesan mudarat asap tembakau.
Dengan lulusnya Polisi USMBT oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 12 September 2012, USM secara rasminya adalah kampus bebas tembakau bermula 1 Januari 2013.
Antara inisiatif yang dijalankan secara berterusan di bawah USMBT adalah kempen senyap, signature campaign, the death clock 1 & 2, pertandingan mewarna kanak-kanak, larian semput dan sebagainya.
Usaha tersebut turut mendapat kerjasama penuh rakan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) melalui pembiayaan dana berjumlah RM500,000 untuk tempoh tiga tahun bermula 2013 hingga 2015. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1381