INOVASI SISWA: JIMAT AIR GUNA BOTOL MINERAL
PULAU PINANG, 9 Sept. 2013 – Selaras dengan usaha Universiti Sains Malaysia (USM) meneraju konsep kelestarian, sekumpulan pelajar yang bernaung di bawah Sekretariat Kampus Sejahtera (SKS) memperkenalkan cara mudah untuk mengamalkan konsep hijau.
Paling senang dan menarik, pelajar boleh menjimatkan penggunaan air sebanyak 500 mililiter (ml) setiap kali menggunakan pam air di tandas dengan hanya menggunakan satu botol mineral terpakai.
Idea kelestarian yang diperkenalkan sukarelawan SKS, Nurul Fatihah Ahmad Fuad itu boleh menjimatkan penggunaan sekurang-kurangnya 800 liter air sehari jika digunapakai di lapan desasiswa yang terdapat dalam kampus induk USM, di sini.
Katanya, cara penjimatan tersebut amat mudah dan sesuai diamalkan yang mana pengguna hanya perlu memasukkan air dalam sebotol bekas air mineral (500ml) dan meletakkannya dalam rumah pam tandas.
``Teknik ini membolehkan isipadu air 500 ml kekal dalam rumah pam dan hanya sebahagian sahaja yang diisi semula. Cara ini terbukti berkesan dan telah diaplikasikan di Desasiswa Aman Damai USM,’’ ujar beliau.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pula berkata, selaku universiti berteraskan kelestarian, USM berusaha sebaik mungkin untuk membina masa hadapan lebih baik untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Justeru katanya SKS kini dijenamakan semula dengan meletakkan pelajar sebagai penggerak utama dalam meneraju inisiatif-inisiatif kesedaran ke arah kelestarian dalam kampus, sekaligus memindahkannya untuk manfaat masyarakat di luar kampus.
``Kita menggalakkan para pelajar untuk melihat, menyelidik dan memperkenalkan langkah-langkah yang boleh diperbaiki untuk meneruskan kesinambungan kelestarian dalam kampus,’’ ujarnya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, orientasi SKS dijenamakan semula kepada ‘Inisiatif Berasaskan Pelajar’ yang mana idea-idea pelajar akan dilaksanakan mengikut acuan yang diperkenalkan oleh pelajar itu sendiri.
``SKS turut bertindak sebagai platform yang akan membimbing dan mendidik warga kampus untuk sentiasa mengamalkan kehidupan yang lestari dan mengelakkan pembaziran,’’ katanya.
Selain itu, SKS turut memperkenalkan beberapa langkah lain untuk mengekalkan konsep hijau termasuk kempen pengurangan penggunaan kertas atau ‘berfikir dahulu sebelum mencetak’, penggunaan e-book, 'tapau mania' (boikot polistirena), guna semula beg plastik dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 6254