USM JALIN KERJASAMA DENGAN KEDUTAAN ASIA DAN AFRIKA, PERKUKUH USAHA JADIKAN MALAYSIA HAB PENDIDIKAN TINGGI GLOBAL
KUALA LUMPUR, 3 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperkukuh agenda penglibatan globalnya melalui ‘USM Engagement Session with Foreign Embassies and High Commissions in Malaysia,’ yang menghimpunkan wakil-wakil diplomatik asing dalam usaha strategik untuk memperluas kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, mobiliti pelajar, dan pembangunan bakat.
Sesi yang berlangsung di USM@KL, Tingkat 15, Menara MOF Inc., Platinum Park, Kuala Lumpur itu menjadi platform berprestij bagi USM untuk mengukuhkan hubungan institusi dengan wakil diplomatik serta meneroka peluang baharu dalam perkongsian akademik, pengambilan pelajar pascasiswazah, kerjasama penyelidikan, dan kemasukan pelajar antarabangsa.
Penglibatan tersebut turut disertai oleh misi diplomatik dari Asia dan Afrika. Dari Asia, antara yang hadir ialah India, Jordan, Kazakhstan, Pakistan, Turkmenistan, dan Vietnam, manakala Libya dan Somalia mewakili benua Afrika.
Kehadiran mereka mencerminkan kepentingan diplomasi pendidikan dalam membina hubungan rakyat-ke-rakyat yang lebih erat serta memacu keutamaan pembangunan bersama melalui ilmu, inovasi, dan kerjasama akademik global.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang menegaskan komitmen USM untuk memperkukuh jejak antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi/hab pilihan bagi pendidikan tinggi bertaraf dunia.
Beliau berkata, pendidikan tinggi kini tidak lagi terbatas kepada bilik kuliah dan kampus semata-mata, tetapi telah menjadi instrumen penting dalam membina masyarakat yang berdaya tahan, memacu kelestarian, dan melahirkan graduan yang bersedia menghadapi masa depan dalam persekitaran global yang pantas berubah.
“USM membawa misi yang melangkaui kecemerlangan akademik. Sebagai satu-satunya universiti APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan) di Malaysia, kami komited untuk mentransformasikan pendidikan tinggi demi masa depan lestari, dan pada masa yang sama membina jambatan ilmu, kefahaman budaya, dan kerjasama global,” katanya.
Dalam sesi tersebut, Naib Canselor turut menekankan pencapaian global terkini USM, termasuk kedudukan ke-5 dunia dalam Times Higher Education Sustainability Impact Ratings 2026, kedudukan No. 1 dunia bagi SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, serta pencapaian di tangga ke-128 dunia dalam QS World University Rankings 2027.
Pencapaian ini, jelas beliau, mencerminkan kedudukan USM yang semakin kukuh sebagai universiti berintensif penyelidikan yang terus memimpin melalui kelestarian, inovasi, keterangkuman, dan perkongsian berimpak tinggi.
Beliau juga berkongsi hala tuju akademik masa depan USM, termasuk langkah universiti untuk mengintegrasikan ‘Artificial Intelligence’ (AI) ke dalam semua program akademik menjelang akhir tahun 2026.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha USM untuk memperkukuh kebolehan digital graduan, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi keperluan tenaga kerja global yang sedang berkembang,” tambahnya.
Dengan komuniti pelajar antarabangsa dari lebih 80 negara, USM terus memperkukuh ekosistem globalnya melalui laluan pascasiswazah, program mobiliti, perkhidmatan sokongan pelajar, inisiatif integrasi budaya, peluang biasiswa, dan tawaran akademik yang relevan dengan industri.
Antara fokus utama sesi tersebut juga adalah pengenalan USM@KL sebagai hab strategik USM di Kuala Lumpur.
Terletak di tengah-tengah ibu kota, USM@KL berperanan meningkatkan akses universiti kepada misi diplomatik, pemohon antarabangsa, golongan profesional, alumni, rakan korporat, dan pihak berkepentingan berkaitan kerajaan.
Melalui penglibatan ini, USM berhasrat memperdalam kerjasama dengan misi diplomatik asing, memperluas saluran pengambilan pelajar, memperkukuh perkongsian penyelidikan dan mobiliti, serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab pendidikan global terkemuka.
Sesi itu menjadi manifestasi jelas aspirasi global USM membuka laluan baharu diplomatik dan akademik yang menghubungkan Malaysia dengan dunia melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi, dan pembangunan insan sejagat.
"Berpandukan motto 'Kami Memimpin', USM terus menerajui kecemerlangan sebagai universiti bertaraf dunia yang melahirkan graduan berdaya saing, membina kerjasama antarabangsa berkekalan serta menyumbang kepada pembentukan dunia yang lebih lestari, inklusif, dan saling berhubung," katanya.
Turut hadir ialah Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz; dan Pengarah USM@ KL, Profesor Madya Dr. Hasrina Mustafa.
Teks Asal: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan @ MPRC, USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 200