USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH JALINAN AKADEMIK MALAYSIA–CHINA MELALUI PROGRAM KECEMERLANGAN AKADEMIK PENDIDIKAN TINGGI

PULAU PINANG, 2 Julai 2026 – Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ‘Professional Development Programme in Higher Education Academic Excellence’ pada 22 hingga 26 Jun 2026 di Royale Chulan Penang Hotel, di sini.

Program selama lima hari tersebut disertai oleh 31 peserta dari Jiangsu Maritime Institute (JMI), China, yang terdiri daripada ketua jabatan dan staf akademik.

Penganjuran program tersebut bertujuan untuk memperkukuh kefahaman peserta terhadap landskap pendidikan tinggi Malaysia, pembangunan pendidikan vokasional, kepimpinan akademik, inovasi pengajaran dan pembelajaran, penerbitan penyelidikan, kerjasama universiti–industri serta pertukaran budaya.

Pengisian program dimulakan dengan perkongsian berkaitan perkembangan semasa dan prospek pendidikan vokasional tinggi di Malaysia.

Perkongsian tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai hala tuju pendidikan vokasional negara, termasuk pendekatan institusi, amalan semasa serta cabaran dan peluang masa hadapan.

Dr. Zuraida Osman dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM berkongsi perspektif berkaitan pembangunan pendidikan vokasional di Malaysia, khususnya dalam aspek pengajaran dan penyelidikan.

Penekanan turut diberikan kepada kepentingan kerjasama antara universiti dengan industri dalam memperkukuh pembangunan bakat, pembelajaran praktikal, dan kebolehpasaran graduan melalui perkongsian oleh Moo Keng Hao dari ViTrox College.

Perbincangan mengenai pendidikan vokasional kemudiannya diperkukuh melalui perkongsian Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, yang menyentuh aspek dasar, tadbir urus, amalan semasa, cabaran serta keperluan reformasi pada masa hadapan.

Komponen pembangunan kompetensi pendidik pula memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan akademik dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan serta kepimpinan akademik.

Profesor Madya Ir. Dr. Syamsul Rizal Abd Shukor, Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE@USM), berkongsi inovasi dan trend semasa dalam dunia akademik, termasuk pendekatan baharu untuk memperkukuh kecemerlangan pengajaran dan penyelidikan.

Aspek inovasi teknologi pendidikan turut diberi perhatian melalui perkongsian Profesor Madya Ts. Dr. Yanny Marliana Baba Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM.

Perkongsian ini memberi pendedahan kepada peserta tentang penggunaan pendekatan digital dan teknologi pendidikan bagi memperkukuh keberkesanan pengajaran serta meningkatkan prestasi akademik.

Antara pengisian utama program ialah lawatan pertukaran akademik yang memberi peluang kepada peserta untuk melihat secara lebih dekat ekosistem akademik, penyelidikan, dan inovasi di USM.

Delegasi telah melawat Pusat Pengajian Sains Komputer, USM bagi mendapatkan pendedahan berkaitan perkembangan akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi serta kecerdasan buatan.

Delegasi turut mengadakan lawatan ke Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), USM, iaitu Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Lawatan kemudian diteruskan ke ViTrox Technologies dan ViTrox College, yang memberi peluang kepada peserta memahami dengan lebih dekat ekosistem pendidikan berasaskan industri, inovasi teknologi, dan pembangunan bakat dalam sektor berteknologi tinggi.

Pengukuhan kemahiran penerbitan akademik turut menjadi antara fokus penting program ini. Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM, yang diiktiraf sebagai antara penyelidik Global Top 1% Most Highly Cited Researchers oleh Clarivate, berkongsi pengalaman dan panduan penerbitan dalam bidang sains.

Bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee, Pengarah IPPTN, berkongsi strategi penerbitan yang bersesuaian dengan keperluan dan pendekatan disiplin tersebut.

Program kemudiannya diakhiri dengan sesi penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta.

Selain pengisian akademik, program ini turut diserikan dengan aktiviti pertukaran budaya dan warisan.

Aktiviti ini bertujuan memperkenalkan peserta kepada keunikan budaya, sejarah, dan warisan semula jadi Malaysia, khususnya di Pulau Pinang. Lokasi yang dilawati termasuk Bukit Bendera, The Habitat, Tokong Kek Lok Si, Penang History Gallery, dan Zon Warisan Dunia UNESCO George Town.

Melalui penganjuran program ini, IPPTN USM terus memperkukuh peranannya sebagai platform kerjasama akademik antarabangsa, pembangunan kapasiti, dan perkongsian ilmu rentas negara.

Kerjasama bersama JMI ini turut mencerminkan hubungan erat Malaysia–China dalam bidang pendidikan tinggi, khususnya dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, pendidikan vokasional, penyelidikan, dan jaringan institusi global.

Teks: Ahmad Firdaus Ahmad Shabudin & Dr. Sally B Gutierez, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM

 


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025