USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANTARA MEDAN TERBAIK PUPUK SIFAT KEPIMPINAN

060913-1

PULAU PINANG, 6 September 2013 – Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menyeru setiap dari mahasiswa-mahasiswi baru Universiti Sains Malaysia (USM) agar menampilkan kelainan tersendiri terutama dari segi kepimpinan, bagi memastikan keistimewaan tersebut dapat diteladani oleh generasi berikutnya.

"Jika kita masih di takuk lama, tidak belajar dengan bersungguh-sungguh, sentiasa melepaskan peluang keemasan yang terhidang, maka kita adalah dari kalangan orang-orang yang rugi dan mensia-siakan masa hidupnya," katanya pada satu majlis ringkas sempena Minggu Siswa Lestari di Padang Kawad USM.

Dalam ucapan beliau, sebelum melepaskan mahasiswa mahasiswi USM mengikuti Program Pimpin Siswa di kem-kem terpilih, beliau turut menasihatkan semua yang akan mengikuti program agar menjaga keselamatan diri dan sentiasa mengikut arahan dari fasilitator masing-masing.

060913-2

"Anda semua patut berbangga kerana terpilih untuk mengikuti Program Pimpin Siswa ke-5 ini yang turut dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengalaman mengendalikan hampir 15,000 pelajar sejak program ini mula diperkenalkan," ujarnya.

"Dengan pengalaman luas yang ada pada setiap dari mereka, ia akan menjadikan program ini lebih menarik dan berinteraktif," tambahnya lagi.

Omar turut berharap agar hubungan yang dijalin sepanjang program ini dapat dikekalkan antara satu sama lain, bukan saja dari kalangan desasiswa yang sama, tapi merangkumi setiap pelusuk USM.

060913-3

"Semoga kenangan yang dicipta di setiap kem akan menjadi memori yang lebih indah sepanjang pengajian anda di USM, disamping menambah kenalan baru, ilmu-ilmu yang dipelajari juga diharap dapat memberi impak positif kepada diri masing-masing."

Seramai hampir 3,500 pelajar, termasuk fasilitator akan mengikuti Program Pimpin Siswa selama 3 hari yang dibahagikan kepada beberapa kem iaitu Kem Tasek Bris, Kem Perik, Kem Batu Hampar, Kem Palas, Kem Manong, Kem Cinta Alam Kelimat dan Kem Gerik.  Teks : Mohamad Danial Shahri/Foto : Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1509

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024