USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA PEMBELAJARAN KOMSAS MELALUI PENDEKATAN INOVASI TEATER BERASASKAN MODUL USM SENDIRI

 

PULAU PINANG, 2 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan pendidikan negara menerusi pelaksanaan Projek ‘Service Learning Malaysia – University for Society’ (SULAM) 2026 yang mengetengahkan pendekatan teater sebagai medium inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS).

Majlis Penutupan Projek SULAM 2026 bertemakan "Transformasi Pembelajaran Teks Sastera KOMSAS melalui Pendekatan Teater Berasaskan Pengalaman Langsung dan Persembahan" telah berlangsung dengan jayanya pada 1 Julai 2026 bertempat di SMK Georgetown, Pulau Pinang.

Program anjuran Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) itu merupakan inisiatif murni di bawah Geran Penyelidikan Libatsama Komuniti melalui SULAM yang bertujuan mentransformasikan pembelajaran teks KOMSAS daripada pendekatan berasaskan hafalan kepada pembelajaran yang lebih aktif, interaktif, dan berasaskan pengalaman menerusi seni teater.  

Antara tetamu yang hadir termasuk Sharrul Rizal Hashim, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Utara Pulau Pinang; Siti Indriati Abd Aziz, Pengetua SMK Georgetown; Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa, Dekan Pusat Pengajian Seni USM; Dr. Azrul Azizi Amirul, Pengerusi Rancangan Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Jacquelina Karimon, Pengerusi Rancangan Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM; Ilya Rusaidi, Pengerusi My Penang Creative; Ong Ching Chi, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC); penulis Novel Songket Berbenang Emas, Khairudin Ayip; pensyarah-pensyarah USM; dan guru-guru SMK Georgetown.

Projek berimpak tinggi ini menggunakan novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip sebagai fokus utama pembelajaran sepanjang fasa pelaksanaan.

Sepanjang fasa pelaksanaan projek yang bermula dari bulan April hingga Jun 2026, seramai 50 orang murid Tingkatan Lima SMK Georgetown telah mengikuti pelbagai siri aktiviti pembelajaran berasaskan teater yang merangkumi kaedah dramatisasi teks, simulasi konflik watak, pembacaan dramatik, teknik ‘hot seating,’ improvisasi, serta refleksi berstruktur.

Pengendalian bengkel, latihan, dan pementasan ini telah dijayakan dengan bimbingan seramai 68 orang pelajar USM daripada kursus VTR161 Penganalisisan Skrip Drama yang bertindak secara langsung sebagai fasilitator program.

Melalui penglibatan aktif ini, projek tersebut berjaya memperlihatkan bagaimana sebuah teks sastera dapat dihidupkan semula melalui lakonan, dialog, gerak tubuh, dan refleksi, sekali gus menjadikan pembelajaran tersebut lebih bermakna serta dekat dengan pengalaman sebenar para murid.

Pendekatan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan penghayatan murid terhadap watak, konflik, tema, nilai, dan pemikiran dalam karya sastera, malah turut memperkukuh Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kecekapan komunikasi, serta keyakinan diri mereka.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Sharrul Rizal Hasim dalam ucapan perasmian penutupnya turut menegaskan bahawa usaha mengangkat karya sastera ke pentas teater merupakan satu langkah progresif yang amat wajar diberikan penghargaan tinggi.

Beliau menyatakan bahawa karya sastera tidak seharusnya hanya dibaca untuk tujuan peperiksaan semata-mata, tetapi perlu terus hidup dan subur dalam masyarakat.

Melalui kaedah Forum Reflektif Teater Pedagogi (FRTP), teks sastera tidak lagi berada di atas kertas sahaja, sebaliknya teks tersebut bergerak, bersuara, dan bernafas secara nyata di hadapan murid.

Beliau menambah bahawa apabila murid menyaksikan watak Dahlia, ahli keluarganya, serta konflik kehidupan yang dihadapinya di atas pentas, mereka akan menjadi lebih mudah untuk membina empati serta melihat bagaimana nilai ketabahan, kasih sayang, pengorbanan, dan kekuatan diri diterjemahkan melalui aksi dramatik.

Beliau turut menyifatkan pendekatan teater ini sebagai satu wahana pendidikan holistik yang mampu menghubungkan ilmu dengan pengalaman, selain membentuk pemikiran kritis, kreativiti, dan penghayatan mendalam murid yang sangat relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.

Majlis penutupan menyaksikan pelbagai pengisian yang amat bermakna bagi seluruh hadirin. Majlis dimulakan dengan tayangan video dokumentasi yang memaparkan perjalanan panjang Projek SULAM bagi tempoh April hingga Jun 2026.

Acara kemuncak bagi program ini menyaksikan keberkesanan implementasi Modul Forum Reflektif Teater Pedagogi (FRTP) yang telah dihasilkan oleh Dr. Andika Aziz Hussin, Pensyarah Pusat Pengajian Seni USM.

Modul khusus ini direka khas untuk membantu para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM memahami novel dengan lebih mendalam dan efektif.

Pementasan teater yang diadaptasikan daripada novel tersebut membawakan tajuk 'Dahlia: Benang Emas Kehidupan.'

Aplikasi modul FRTP ini dijayakan menerusi gabungan mantap antara murid SMK Georgetown bersama para fasilitator USM, yang kemudiannya disusuli dengan sesi refleksi ringkas daripada wakil murid dan wakil fasilitator.

Majlis turut dimantapkan lagi dengan sesi refleksi khas yang disampaikan secara langsung oleh penulis asal novel Songket Berbenang Emas, Khairuddin Ayip, yang berkongsi pandangan bernilai mengenai kepentingan pengadaptasian karya sastera ke pentas sebagai medium pembelajaran yang lebih hidup dan berkesan.

Pengarah Projek SULAM 2026, Dr. Andika Aziz Hussin, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen jitu dalam menjayakan projek komuniti ini.

Beliau menjelaskan bahawa kejayaan program ini membuktikan bahawa model pedagogi alternatif berasaskan teater mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang kreatif, interaktif, menyeronokkan, dan berimpak tinggi kepada murid serta mahasiswa universiti.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan oleh SMK Georgetown, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Penjana Kreatif Seni Teater Pulau Pinang (KREATER), My Penang Creative, Penang Youth Development Corporation (PYDC), Pusat Pengajian Seni USM, serta Bahagian Kesusasteraan dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM yang telah bersama-sama menjayakan pelaksanaan projek ini melalui perkongsian kepakaran, sumber, dan jaringan strategik.

Secara keseluruhannya, Projek SULAM 2026 bukan sahaja memberi manfaat yang besar kepada murid sekolah, malah menyediakan pengalaman Pembelajaran Berimpak Tinggi kepada mahasiswa USM melalui penglibatan secara langsung dalam aspek pemudahcaraan komuniti, pembangunan modul, adaptasi teks, pengarahan, dan pengurusan persembahan.

Inisiatif murni itu turut berjaya memperkukuh hubungan strategik antara pihak universiti, sekolah, agensi kerajaan, dan penggiat industri kreatif dalam membangunkan pendidikan bahasa serta sastera yang lebih inovatif dan lestari.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Perkongsian Demi Matlamat (SDG 17), Projek SULAM 2026 membuktikan bahawa kolaborasi antara pelbagai sektor mampu melahirkan model pembelajaran yang relevan, inklusif, dan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan bahasa, sastera, dan seni sebagai wahana utama dalam pembangunan modal insan negara.

  • Created on .
  • Hits: 237

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025