USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEA 2025 IKTIRAF WARGA PPPJJ PACU AGENDA KELESTARIAN USM

 

USM PULAU PINANG, 1 Julai 2026 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembangunan mampan menerusi penganjuran Sustainability Excellence Awards (SEA) 2025, sebuah platform yang mengiktiraf kecemerlangan warga PPPJJ dalam memperkasakan amalan kelestarian merentas penyelidikan, pendidikan, inovasi dan khidmat komuniti.

Memasuki penganjuran edisi kedua, SEA 2025 bukan sekadar platform penghargaan terhadap pencapaian individu dan kumpulan, malah berperanan sebagai pemangkin dalam membudayakan inovasi, kecemerlangan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti bagi memperkukuh amalan kelestarian secara menyeluruh.

Majlis yang berlangsung di Laman Lestari PPPJJ itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Dr. Azlan Amran.

Di majlis tersebut Beliau berkata, penganjuran SEA 2025 mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh budaya kelestarian yang diterjemahkan melalui penyelidikan, pendidikan, inovasi, jaringan komuniti dan pengurusan institusi.

Menurut beliau, anugerah tersebut bukan sekadar memberikan pengiktirafan kepada pencapaian warga PPPJJ, malah menjadi pemangkin kepada budaya kecemerlangan, inovasi dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.

"Tema Fostering Sustainability, Driving Transformation amat bertepatan dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk terus memimpin transformasi masyarakat melalui pendekatan pembangunan lestari yang menyeluruh.

Enam kategori anugerah yang diraikan hari ini mencerminkan ekosistem kelestarian yang lengkap, di mana setiap warga universiti memainkan peranan penting dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs)," kata ketika hadir merasmikan majlis tersebut.

Tambah Azlan, sama ada melalui penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat, penerbitan yang memperkayakan ilmu, projek komuniti yang meningkatkan kesejahteraan rakyat mahupun inisiatif institusi yang mengubah cara universiti beroperasi, semuanya menyumbang kepada pembentukan masa depan yang lebih mampan.

Bertemakan "Fostering Sustainability, Driving Transformation", penganjuran kali ini mencerminkan aspirasi USM untuk terus menerajui transformasi masyarakat melalui pendekatan pembangunan lestari yang inklusif dan holistik, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs).

Antara kategori anugerah yang dipertandingkan merangkumi bidang penyelidikan, penerbitan, perundingan, komuniti, institusi dan pelajar, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem kelestarian universiti yang mampan, berimpak tinggi dan berdaya saing.

Profesor Dr. Azlan turut berkata, kejayaan USM menduduki tempat kelima dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Rankings 2026, selain mengekalkan kedudukan sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan Asia serta diiktiraf sebagai Universiti Nombor 1 Dunia bagi SDG 17: Partnership for the Goals, merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga universiti bersama rakan industri, agensi kerajaan, komuniti dan jaringan antarabangsa dalam merealisasikan agenda pembangunan lestari.

"Saya berharap program ini akan terus menjadi platform untuk mencungkil idea-idea baharu, memperluaskan amalan terbaik serta memperkukuhkan budaya kelestarian dalam setiap aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan universiti," tambah beliau.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pengajaran Inovatif (API) 2025, diikuti penyampaian sijil penyertaan serta anugerah kepada para penerima SEA 2025 sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam memperkukuh agenda kelestarian universiti.

Selain itu, program turut diisi dengan ceramah kelestarian bertajuk "Membudayakan Kelestarian di Universiti: Menterjemah Komitmen kepada Transformasi" yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perancangan Institusi & Strategik USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd. Program diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk "Penang Hill Biosphere Reserve: Living Laboratory for Sustainability, Conservation and Community Engagement" oleh Pegawai Projek Kanan, Unit Pengurusan Rizab Biosfera, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Dr. Yang Kok Lee.

PPPJJ berharap budaya kelestarian akan terus diperkasakan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi serta jaringan komuniti, sekali gus menyokong aspirasi USM untuk terus kekal sebagai peneraju pembangunan lestari yang diiktiraf di peringkat global.

Turut hadir ke majlis ialah Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob; Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, Mohd Rashid Abdul Rejab, Timbalan-timbalan Dekan PPPJJ,  para pensyarah dan pegawai-pegawai utama Pusat Pengajian tersebut.

Teks: Mohd Rashid Abdul Rejab & Nor Rafizah Haji Md Zain, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJJ), USM/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJJ), USM

  • Created on .
  • Hits: 230

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025