USM, LAM RESEARCH TERAJU KERJASAMA STRATEGIK KONSORTIUM E&E UNIVERSITI AWAM PERKASA BAKAT SEMIKONDUKTOR NEGARA
PULAU PINANG, 30 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), selaku peneraju Konsortium Elektrik dan Elektronik (E&E) Universiti Awam, hari ini memperkukuh agenda pembangunan bakat industri semikonduktor negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lam Research International Sdn. Bhd., sekali gus memperluas pelaksanaan Program Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri (MRI3) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Majlis yang berlangsung di Lam Research, Batu Kawan itu menjadi satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama universiti-industri bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semikonduktor global, selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing dalam sektor teknologi bernilai tinggi.
Program MRI3 yang sebelum ini dikenali sebagai Industry-Infused Programme (IIP) menghimpunkan 19 universiti awam bersama pemain utama industri elektrik dan elektronik (E&E) bagi menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih sistematik dan berorientasikan industri.

Menerusi model ini, pelajar tahun akhir akan melaksanakan Projek Tahun Akhir (FYP) dan latihan industri secara serentak di bawah bimbingan mentor industri, menerima elaun minimum RM1,500 sebulan, mendapat akses kepada peralatan teknologi termaju serta laluan pantas ke peluang kerjaya dengan gaji permulaan melebihi RM4,000.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen USM sebagai satu-satunya universiti APEX negara dalam memimpin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan industri semikonduktor Malaysia.
"USM sedang membina saluran bakat premium yang diperlukan untuk mengangkat Malaysia daripada hanya pembungkusan belakang (back-end packaging) kepada kejuruteraan hadapan (front-end engineering), pembuatan termaju, dan inovasi bertaraf dunia," menurutnya.
Beliau berkata, kerjasama melalui MRI3 turut menyokong pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang menggariskan usaha negara untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi global.
Menurut beliau lagi, pendekatan yang menggabungkan latihan industri dan Projek Tahun Akhir selama setahun penuh memberi peluang kepada pelajar kejuruteraan untuk berhadapan dengan cabaran sebenar industri serta persekitaran kejuruteraan termaju sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
"Langkah ini memastikan graduan kami memasuki pasaran kerja sebagai profesional berkemahiran tinggi, bersedia menyumbang kepada inovasi industri sejak hari pertama," tambah Abdul Rahman.
Pada majlis yang sama, delegasi USM bersama wakil Konsortium E&E Universiti Awam dibawa melawat fasiliti dan loji pengeluaran Lam Research.
Lawatan tersebut memberi pendedahan kepada ruang kejuruteraan dan pembuatan berteknologi tinggi yang bakal menjadi lokasi latihan industri pelajar di bawah program MRI3, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan aplikasi sebenar dalam industri semikonduktor global.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Sumber Manusia Malaysia, Lam Research International Sdn. Bhd., Chuah Seong Khiao; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, yang juga Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Azlan Amran; dan Pengarah Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 252