KELUAR DARI ZON SELESA - KATA TAN SRI RAZALI
PULAU PINANG, 22 Sept. 2013 – Para graduan diseru agar mempersiapkan diri dengan pelbagai keupayaan dan mengembara ke seluruh dunia untuk menimba pengalaman berguna.
Demikian kata Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Razali Ismail ketika berucap di hadapan lebih 800 graduan sempena Upacara Konvokesyan Ke-48 USM, di sini baru-baru ini.
Katanya, graduan perlu berani untuk keluar ke mana sahaja di dunia untuk menimba pengalaman, sama ada untuk kerja sukarela, perniagaan, berkhidmat dengan agensi antarabangsa dan sebagainya supaya tidak terus berada di dalam kepompong sendiri.
``Keluar terokai dan cari pengalaman, kuasai ilmu pengetahuan, lihat dunia sebenar, terokai seluruh keseronokan yang ada dan bangun sebagai seorang wira yang mampu melakukan perubahan kepada diri dan negara dengan ilmu yang ada,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir mempengerusikan upacara penganugerahan ijazah bagi sidang empat dan lima yang menyaksikan lebih 1,500 graduan menerima skrol masing-masing mengikut kursus yang diikuti.
Tambah beliau, Universiti juga sepatutnya sudah mula meneroka usaha untuk meletakkan siswa-siswinya di seluruh pelosok rantau dunia bagi memastikan mereka berani berusaha dan keluar dari segala ketakutan serta keselesaan.
``Tunjukkan jiwa muda kita yang sebenar untuk mencari dunia, peluang dan kekayaan baharu. Tidak pedulilah apa yang saudara-saudari lakukan, yang penting terokailah alam ini dan keluar dari pemikiran yang ada,’’ ujarnya.
Tambah beliau, walau sehebat mana pun kejayaan seseorang individu, ia mesti seiring dengan sahsiah diri dan kemampuan berfikir yang matang dan disegani.
``Sebaik mana pun saudara-saudari, pada akhirnya yang diukur ialah keupayaan dan kompetensi berbanding dengan orang lain yang berbaris panjang untuk mengambil alih tempat saudara-saudari sebaik sahaja meninggalkan peluang yang ada.
``Inilah hakikat sebenar dunia kerjaya hari ini. Panggillah apa sahaja, marahlah jika mahu, tetapi kita perlu realistik dalam mencaturkan masa hadapan yang dibina,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1461