USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI 478 WARGA STAF CEMERLANG, PERKUKUH BUDAYA PRESTASI BERTARAF GLOBAL

 

NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 30 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan budaya kecemerlangan apabila meraikan 478 warga staf universiti menerusi Majlis Penghargaan Universiti (MPU) 2026, sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan sumbangan luar biasa staf dalam memperkasakan kecemerlangan institusi di peringkat nasional dan global.

Daripada jumlah tersebut, 397 warga USM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025, manakala 81 lagi menerima Anugerah Sanjungan Budi (ASB) 2026 sebagai penghargaan atas khidmat bakti selama 25 tahun kepada universiti.

Penerima APC terdiri daripada 119 staf akademik, 54 staf pengurusan dan profesional serta 224 staf pelaksana, sementara penerima ASB melibatkan 22 staf akademik, 12 staf pengurusan dan profesional serta 47 staf pelaksana.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, setiap kejayaan yang dicapai universiti hari ini lahir daripada komitmen seluruh warga kerja yang memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah, integriti dan profesionalisme.

"Kecemerlangan bertaraf global bukanlah sesuatu yang dicapai oleh segelintir individu, tetapi merupakan hasil komitmen setiap warga universiti. Di sebalik setiap pengiktirafan dunia yang diraih USM, terdapat ribuan usaha, pengorbanan dan dedikasi yang dicurahkan oleh seluruh warga universiti," kata beliau.

Tambah Abdul Rahman, pengiktirafan yang diberikan bukan sekadar meraikan pencapaian individu, malah menjadi simbol penghargaan universiti terhadap warga yang menjadi pemacu utama kecemerlangan USM selama ini.

"Setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, memberi impak besar kepada perjalanan universiti. Apabila setiap warga melaksanakan amanah dengan cemerlang, kita sebenarnya sedang mengangkat nama USM ke pentas dunia," katanya lagi.

Selain itu, Abdul Rahman menyatakan kejayaan USM yang kini diiktiraf antara universiti terbaik dunia membuktikan bahawa budaya kerja berprestasi tinggi mesti terus diperkasakan agar universiti kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.

"Pengiktirafan ini bukan noktah kepada kejayaan, tetapi pemangkin untuk kita terus berinovasi, memperkukuh integriti dan membina budaya kerja yang sentiasa meletakkan kecemerlangan sebagai keutamaan. Saya mahu setiap warga USM berbangga kerana anda semua adalah sebahagian daripada kejayaan besar ini," kata beliau lagi.

 

Tahun ini universiti komited memastikan kebajikan warga terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif termasuk peningkatan kadar insentif penerima Anugerah Sanjungan Budi daripada RM300 kepada RM500, selain insentif penghargaan kepada penerima APC yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Dr. Habibah Abdul Wahab; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Timbalan Pendaftar-Menjalankan fungsi Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Mewakili Pendaftar USM, Sarina Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penghargaan Universiti 2026, Hafiz Assad Zakaria.

 

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025