USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASUKAN APEX-iMAX USM JOHAN TAR UMT x CIMA BUSINESS CHALLENGE 2026

 

USM PULAU PINANG, 30 Jun 2026 - Pasukan APEX-iMAX dari Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara keseluruhan dalam pertandingan TAR UMT x CIMA Business Challenge 2026 yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Tanjung Bungah, di sini baru-baru ini.

Kemenangan itu lebih bermakna apabila edisi kali ini mencipta sejarah tersendiri dengan pengenalan format perdebatan pengurusan (debate-style management challenge), menggantikan kaedah pembentangan konvensional yang digunakan sebelum ini.

Format baharu berkenaan direka bagi mensimulasikan situasi sebenar mesyuarat pengurusan korporat, sekali gus menguji keupayaan peserta mempertahankan cadangan projek, mencabar hujah pasukan lawan dan menjawab bidasan secara spontan serta kritis.

Menurut jurucakap penganjur, pendekatan itu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan dunia profesional yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan penekanan diberikan kepada kemahiran berfikir kritis, komunikasi strategik, pemujukan, pengurusan tekanan dan keupayaan mengemukakan soalan yang bernas.

Persediaan pasukan USM bermula pada 4 Jun lalu apabila menerima kajian kes perniagaan awal melibatkan syarikat fiksyen, Kwirtmak plc, untuk dianalisis. Pertandingan itu menghimpunkan 16 pasukan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara termasuk TAR UMT, INTI, UOW Malaysia dan SENTRAL College Penang.

Pada peringkat awal, pasukan USM berjaya mengatasi cabaran dalam kumpulan masing-masing sebelum muncul juara kumpulan dan menjadi satu-satunya wakil kumpulan yang layak ke peringkat empat pasukan terbaik.

Cabaran semakin sengit pada pusingan akhir apabila setiap pasukan perlu melalui proses cabutan undi bagi menentukan projek yang akan diperdebatkan. Sistem pemarkahan turut menggabungkan 80 peratus penilaian panel juri profesional dan 20 peratus undian rakan sebaya.

Keupayaan pasukan USM mematahkan hujah lawan, menjawab soalan juri secara spontan serta mengemukakan analisis kewangan yang meyakinkan berjaya menarik perhatian panel penilai dan penonton, sekali gus menobatkan mereka sebagai juara keseluruhan dengan hadiah wang tunai RM2,000.

Pasukan APEX-iMAX dianggotai oleh Amsyar Nurhakim Abdul Rashid (ketua pasukan), Muhammad Zulhilmi Abdul Rashid, Ayumi Hayana Azhar dan Muhammad Nabil Mohd Yusof.

Kejayaan itu turut diserikan dengan pengiktirafan kepada Muhammad Zulhilmi apabila dinobatkan sebagai penerima Future Business Leader Award yang mengiktiraf beliau sebagai pembentang terbaik pertandingan.

Pasukan berkenaan dibimbing oleh pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM, Dayana Mastura, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan strategik dan pemikiran kritis pelajar sepanjang persediaan menghadapi pertandingan.

Prestasi cemerlang pasukan USM turut menerima pujian daripada panel hakim yang terdiri daripada Specialist, Business Development AICPA & CIMA, Cheong Jian Wei; Audit Director, KPMG, Leow Yew Lee, serta barisan akademia yang terlibat dalam penilaian.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menyerlahkan kecemerlangan mahasiswa USM dalam bidang pengurusan dan perniagaan, malah menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti melalui pembangunan modal insan yang berdaya saing, tangkas dan bersedia mendepani cabaran landskap perniagaan global.

Teks & Foto: Muhammad Zulhilmi Abdul Rashid, Pusat Pengajian Pengurusan (PPP), USM

  • Created on .
  • Hits: 326

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025