USM NEWS PORTAL 

USM DAN MJSG GARAP MESEJ KELESTARIAN MELALUI MURAL TROPICAL BOTANICAL FOREST

SUNGAI GELUGOR, PULAU PINANG, 29 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh hubungan antara kampus dan masyarakat melalui Majlis Penutup Program Khidmat Komuniti dan Penghasilan Mural Tropical Botanical Forest di Masjid Jamek Sungai Gelugor (MJSG), Pulau Pinang.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama MJSG, Pejabat Naib Canselor USM (PNC-USM), Pusat Pengajian Seni USM dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM. Seramai 29 peserta terlibat, terdiri daripada tujuh pensyarah, 16 pelajar Tahun Pertama Pusat Pengajian Seni USM serta enam wakil jawatankuasa pengurusan dan sukarelawan MJSG.

Bertemakan Tropical Botanical Forest, mural tersebut membawa mesej keharmonian antara manusia, alam dan ruang komuniti. Selain menceriakan persekitaran masjid, karya itu turut menjadi medium pendidikan tidak formal yang menyampaikan nilai kecintaan terhadap alam ciptaan Allah SWT serta kepentingan menjaga persekitaran bersama.

Reka Bentuk Mural di MJSG

Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata program tersebut meningkatkan tahap peranan universiti dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi turut memiliki kepekaan sosial serta semangat khidmat kepada masyarakat.

“Bagi USM, program seperti ini bukan sekadar ruang untuk pelajar mempamerkan bakat. Lebih penting, ia menjadi medan untuk mereka memahami makna kerendahan hati, adab bersama komuniti dan nilai sebenar ilmu apabila digunakan untuk memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman pelajar di lapangan memberi dimensi pembelajaran yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya di bilik kuliah.

“Apabila pelajar turun ke lapangan, berinteraksi dengan masyarakat dan berkarya dalam ruang komuniti, mereka belajar bahawa ilmu bukan milik kampus semata-mata. Ilmu perlu diterjemah dengan rasa hormat, empati dan tanggungjawab,” tambah beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini seiring dengan aspirasi kelestarian USM dan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 13: Tindakan Iklim, SDG 15: Kehidupan di Darat dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat yang benar-benar membawa impak praktikal yang mengalir kepada masyarakat setempat.

Dalam konteks ini, masjid dilihat bukan sebagai ruang ibadah semata-mata, namun sebagai pusat komuniti yang mendidik, menyatukan dan membina kesedaran bersama. Mural yang dihasilkan menjadi pendekatan kreatif untuk menyampaikan mesej kelestarian kepada ahli kariah dan masyarakat setempat.

“Kelestarian bukan hanya tentang dasar, laporan atau data. Ia juga berlaku apabila komuniti mula menghargai ruangnya, menjaga alam sekeliling dan membina hubungan yang lebih baik antara manusia dengan persekitaran. Itulah nilai yang ingin dibawa melalui program ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MJSG, Tuan Haji Sazali Ahmad, menzahirkan penghargaan kepada USM atas kerjasama yang memberi manfaat langsung kepada masjid dan ahli kariah.

“Kami amat menghargai kehadiran USM dalam menjayakan program ini. Apa yang terhasil bukan sahaja menceriakan persekitaran masjid, tetapi turut membawa mesej mendalam tentang kebersamaan, keindahan alam dan tanggungjawab menjaga ruang ibadah sebagai ruang yang hidup dan bermakna kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran pensyarah dan pelajar USM turut membawa suasana baharu kepada masjid melalui semangat sukarela, disiplin kerja dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang pelaksanaan program.

“Yang lebih bermakna ialah melihat anak-anak muda ini turun dengan sikap rendah hati. Mereka bukan datang hanya untuk berkarya, tetapi untuk berkhidmat. Hubungan yang terbina sepanjang proses ini adalah nilai paling besar kepada pihak masjid dan komuniti,” katanya lagi.

Program ini turut memberi peluang kepada pelajar Tahun Pertama Pusat Pengajian Seni USM mengikuti pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar atau experiential learning. Melalui pendekatan tersebut, pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran seni visual di samping mempelajari komunikasi komuniti, kerja berpasukan, pengurusan projek, sensitiviti terhadap ruang awam dan tanggungjawab sosial.

Dekan Pusat Pengajian Seni USM, YBrs. Prof. Madya Dr. Muhizam Mustafa, menyifatkan program ini sebagai contoh bagaimana pendidikan seni mampu melahirkan graduan yang kreatif serta peka terhadap masyarakat.

“Seni yang baik bukan sahaja indah untuk dilihat, tetapi mampu menyentuh manusia dan memberi makna kepada sesuatu tempat. Melalui projek ini, pelajar belajar bahawa karya mereka perlu menghormati komuniti, ruang dan nilai yang ingin disampaikan,” katanya.

Program mural ini merupakan kesinambungan kerjasama antara USM dan MJSG sejak dua tahun lalu yang menerima maklum balas positif daripada ahli kariah. Kejayaan penganjuran kali ini turut membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada komuniti setempat pada masa hadapan.

Selain itu, MJSG turut aktif menganjurkan program pendidikan seperti pecutan menjelang SPM untuk masyarakat setempat, termasuk kawasan Sungai Nibong, Taman Sardon dan Kampung Melayu, melalui kerjasama dengan PNC-USM, BJIM dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM sejak dua tahun lalu.

Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar, pensyarah, pegawai PNC, pegawai BJIM, wakil masjid, sukarelawan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Melalui penghasilan mural Tropical Botanical Forest, USM dan MJSG membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan antara kampus dan kariah, sekali gus menghidupkan ruang komuniti dengan nilai ilmu, khidmat dan kelestarian.

Penulis: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan, MPRC-USM merangkap Penasihat Pendidikan MJSG


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025