USM NEWS PORTAL 

MPRC PACU KESEPADUAN IDENTITI VISUAL USM MELALUI JELAJAH “SATU LOGO, SATU IDENTITI” DI KAMPUS KESIHATAN

KUBANG KERIAN, 28 Jun 2026 – Pusat Media dan Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia (MPRC USM) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor terus memperkukuh agenda keterlihatan universiti menerusi penganjuran siri kedua Program Jelajah Pemerkasaan Keterlihatan dan Identiti Visual USM yang berlangsung pada hari ini, di Kampus Kesihatan, Kelantan.

Pelaksanaan jelajah ini menjadi antara inisiatif strategik MPRC dalam memastikan penggunaan logo rasmi, elemen penjenamaan dan bahan komunikasi universiti diterjemahkan secara lebih seragam, tepat dan berwibawa di semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di kesemua kampus.

Berteraskan tema “Satu Logo, Satu Identiti”, program ini memberi penekanan terhadap kepentingan identiti visual sebagai cerminan profesionalisme, kredibiliti dan kewibawaan jenama USM, khususnya dalam penghasilan poster, penerbitan rasmi, grafik digital, slaid pembentangan serta kandungan komunikasi yang membawa nama universiti.

Program yang menghimpunkan warga universiti daripada pelbagai PTJ di Kampus Kesihatan itu turut berperanan sebagai wadah pencerahan dan perkongsian amalan terbaik secara langsung antara pasukan MPRC dengan warga kampus berhubung cabaran sebenar dalam pengurusan identiti visual universiti.

Turut menjadi intipati program ini ialah sesi Brand Clinic, yang membuka ruang kepada peserta untuk mendapatkan khidmat nasihat, semakan dan penjelasan secara langsung daripada pasukan pereka MPRC.

Menurut Pengarah MPRC, Latifah Abdul Latif; pengukuhan identiti visual memerlukan komitmen dan kerjasama seluruh warga USM bagi memastikan setiap bahan komunikasi yang dihasilkan menampilkan ketekalan dalam memperkukuh imej universiti dengan lebih professional dan mudah berwibawa.

“Kita tidak mahu identiti visual USM dilihat berbeza-beza mengikut PTJ. Sebaliknya, kita mahu setiap bahan yang keluar atas nama USM membawa cita rasa yang sama iaitu kemas, berwibawa, diyakini dan mencerminkan kekuatan universiti,” ujar beliau.

Siri di Kampus Kesihatan ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran siri pertama yang telah diadakan di Kampus Induk, Pulau Pinang pada 10 Jun lalu. Program jelajah berkenaan akan diteruskan ke Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal pada 9 Julai, sebelum melabuhkan tirainya di Auditorium Sains@Bertam, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 10 Julai.

Penganjuran siri jelajah ini menzahirkan komitmen berterusan MPRC dalam membudayakan pematuhan terhadap identiti visual universiti, di samping memastikan komunikasi korporat USM kekal kemas, berautoriti dan sejajar dengan piawaian penjenamaan institusi.

Inisiatif ini turut memperteguh usaha universiti dalam membina naratif visual yang lebih utuh, meningkatkan keyakinan pemegang taruh serta memelihara imej profesional USM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Teks: Theva Sarma Gopala Krishnan/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan @ MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025