CTEF ANJUR WEBINAR ANTARABANGSA MENGENAI PENILAIAN SEMULA PENDIDIKAN RENTAS SEMPADAN (TNE)

PULAU PINANG, 25 Jun 2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), telah menganjurkan sebuah webinar antarabangsa yang diadakan secara dalam talian melalui platform Webex.
Program tersebut menghimpunkan hampir 150 peserta dari pelbagai negara termasuk Australia, India, United Kingdom, Bangladesh, Pakistan, Nigeria, Sri Lanka, Libya, Filipina, Indonesia, China, Iran, Sudan, Yaman, Syria, Jordan, Kemboja, UAE, Belize, Mesir, Bahrain, dan Iraq.
Para peserta terdiri daripada ahli akademik, pembuat dasar, pihak berkepentingan, dan pelajar pascasiswazah yang berhimpun bagi membincangkan landskap pendidikan rentas sempadan (TNE) yang sedang berkembang, dengan menumpukan kepada perkembangan global, jaminan kualiti di India, serta laluan baharu ke arah pendidikan tinggi rentas sempadan yang mampan.
Webinar antarabangsa bertemakan ‘Enhancing Quality Assurance in Higher Education: Global Perspectives and Practices in Transnational Education (TNE)’ itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Pengarah, CTEF, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee, turut hadir menyampaikan ucapan alu-aluan manakala ucapan penutup disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, Datin Noorazah Omar.
Sesi webinar tersebut telah dipengerusikan oleh Dr. Jamshed Khalid, Pensyarah Kanan, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN).
Antara penceramah jemputan ialah Profesor Christopher Ziguras, Pengarah dan Profesor dari Centre for the Study of Higher Education, The University of Melbourne, Australia, yang menekankan bahawa pendidikan rentas sempadan (TNE) telah berkembang daripada model pembelajaran jarak jauh pada era 1980-an kepada kewujudan kampus cawangan antarabangsa yang semakin meluas pada hari ini.
Beliau menyatakan bahawa peraturan visa yang lebih ketat dan had kemasukan pelajar telah meningkatkan kepentingan TNE sebagai laluan pendidikan global.
Christopher juga menegaskan bahawa globalisasi amalan profesional memerlukan pengiktirafan dan akreditasi antarabangsa yang lebih kukuh, disokong oleh Mutual Recognition Agreements sejak tahun 1990-an.
Beliau merumuskan bahawa universiti dan badan kawal selia yang terlibat secara aktif dalam kerjasama antarabangsa akan membantu membentuk piawaian global serta memastikan graduan kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Profesor Ganesan Kannabiran, Profesor (HAG) dan Pengarah National Assessment and Accreditation Council (NAAC), berkata bahawa pendidikan tinggi India sedang mengalami transformasi pesat di bawah National Education Policy 2020, dengan peralihan ke arah pembelajaran fleksibel berpusatkan pelajar yang menekankan kemahiran sepanjang hayat dan kerjasama industri.
Beliau menambah bahawa jaminan kualiti sedang dipertingkatkan melalui penarafan berasaskan tahap kematangan serta pembangunan kapasiti dalam bidang seperti kecerdasan buatan, manakala inisiatif pendidikan rentas sempadan (TNE) seperti dwi ijazah, akreditasi bersama, dan kampus luar negara membantu membina sistem akademik yang lebih global dan bersedia untuk masa hadapan.
Sementara itu, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Morshidi Sirat, Perunding dan Pengarah Pengasas CTEF serta Profesor Adjung di Universiti Sunway, menyatakan bahawa pendidikan rentas sempadan (TNE) sedang memasuki fasa pembangunan baharu.
Menurut beliau, peralihan berlaku daripada model tradisional berasaskan pengeksportan dan program ijazah francais kepada pendekatan baharu yang lebih berdaya, inklusif serta menekankan kolaborasi.
Beliau menekankan kepentingan membina ekosistem tempatan yang berdaya tahan di Malaysia dan seluruh Global South melalui hubungan industri yang lebih kukuh, inovasi digital, dan kerjasama rentas sempadan.
Morshidi mencadangkan agar negara-negara Global South yang berminat menarik TNE daripada Global North merujuk kepada “TNE 3.0” oleh Times Higher Education serta British Council's Sustainability Framework, di mana piawaian global digabungkan dengan pengetahuan tempatan, manakala kemampanan kewangan perlu diseimbangkan dengan kualiti program.

Beliau menambah bahawa masa depan pendidikan tinggi akan dipacu oleh prinsip timbal balik, ketangkasan, dan inovasi bersama, bukannya peniruan model luar yang tidak berakar dalam ekosistem nasional dan tempatan.
Webinar antarabangsa tersebut sejajar dengan usaha berterusan untuk memperkukuh pendidikan tinggi global serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 mengenai Pendidikan Berkualiti dan SDG 17 mengenai Kerjasama demi Matlamat.
Hasil dapatan dan rumusan daripada webinar ini akan menjadi asas kepada cadangan dasar yang akan dibangunkan oleh CTEF, dan dijadualkan untuk dibentangkan di Commonwealth Conference of Education Ministers (CCEM) yang akan datang.
Webinar CTEF ini diharap dapat memberikan sumbangan bermakna dalam memperkukuh kerjasama dan menyokong pembangunan sistem pendidikan tinggi di negara-negara Komanwel.
Teks: Dr. Nur Rafidah Asyikin Idris, Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Sri Jeyanthirar Subramaniam, CTEF, USM
- Created on .
- Hits: 223





