HBP USM ANJUR SESI TAKLIMAT PROJEK LRT MUTIARA PULAU PINANG BERSAMA MRT MUTIARA DAN SRS

USM PULAU PINANG, 12 Jun 2026 – Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Sesi Taklimat Projek Laluan Mutiara Pulau Pinang (Penang Mutiara Line) pada 12 Jun 2026 bertempat di Dewan Persidangan HBP, USM.
Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi ini bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah dan pelajar, khususnya daripada program Pengurusan Projek Binaan, mengenai perkembangan semasa, pelaksanaan serta impak Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang merupakan antara projek infrastruktur pengangkutan awam terbesar di negeri ini.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Encik Mahathir Ahmad Marzuki, Penolong Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Awam & Pihak Berkepentingan MRT Mutiara, serta Mr. Phang Kuang Yeow, Pengurus Besar, Jabatan Pengurusan Projek LRT, SRS.

Program ini turut dihadiri oleh seramai sembilan (9) wakil industri, terdiri daripada tujuh (7) pegawai MRT Mutiara dan dua (2) pegawai SRS, di samping kehadiran pensyarah serta pelajar Pengurusan Projek Binaan HBP, USM. Kehadiran pihak industri dan akademia dalam satu platform perkongsian ilmu ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan sektor industri.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah diberi penerangan mengenai latar belakang Projek Laluan Mutiara, perancangan dan pelaksanaan projek, cabaran pengurusan projek berskala besar, strategi penglibatan pemegang taruh serta manfaat yang bakal dinikmati oleh masyarakat melalui peningkatan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Sesi soal jawab yang interaktif turut memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pandangan secara langsung daripada pengamal industri mengenai amalan terbaik dalam pengurusan projek infrastruktur rel.

Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek perancangan dan pelaksanaan projek pengangkutan moden, di samping memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi sebenar ilmu Pengurusan Projek Binaan dalam pembangunan infrastruktur negara. Program ini juga selaras dengan usaha USM untuk memperkukuh jaringan kerjasama industri-akademia serta melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri pembinaan dan pembangunan masa hadapan.
Teks: Sr. Dr. Atasya Osmadi, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM/Foto: Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM
- Created on .
- Hits: 386