USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GSB USM LAKAR ERA BAHARU DENGAN PERASMIAN BANGUNAN BAHARU DAN PELUNCURAN DUA PROGRAM FLAGSHIP

USM PULAU PINANG, 26 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar satu lagi detik bersejarah dalam memperkukuh pendidikan siswazah bidang perniagaan menerusi perasmian Bangunan Baharu Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (Graduate School of Business, GSB) serta peluncuran dua program flagship yang mencerminkan komitmen universiti terhadap kelestarian, pemerkasaan komuniti dan kerjasama strategik bersama industri.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc, dan turut dihadiri Ahli Lembaga Gabenor Universiti, barisan pengurusan tertinggi universiti, dekan-dekan, ahli akademik, Industry/Community Advisory Panel (ICAP), rakan industri, alumni, pelajar serta tetamu jemputan di GSB Lounge, Kampus Induk USM.

Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Rahman menyifatkan pembinaan bangunan baharu GSB sebagai satu pelaburan strategik yang akan memperkukuh fungsi akademik, penyelidikan dan pentadbiran pusat pengajian berkenaan.

"Bangunan baharu ini menyediakan persekitaran yang moden dan kondusif bagi menyokong aktiviti pengajaran, penyelidikan serta interaksi akademik, di samping memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak industri, komuniti dan institusi akademik di peringkat nasional serta antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, kemudahan baharu itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan GSB dalam memperkasakan pendidikan siswazah, malah mampu meningkatkan produktiviti organisasi serta menyokong aspirasi USM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia yang diiktiraf di peringkat global.

Majlis itu turut menyaksikan peluncuran dua program flagship GSB yang menjadi manifestasi komitmen pusat pengajian tersebut dalam menghasilkan impak bermakna kepada masyarakat melalui pendidikan dan penyelidikan perniagaan.

Program pertama, Memperkasa Komuniti Orang Asli Melalui Kerjasama Industri: Kelestarian Air sebagai Nadi Kehidupan, yang diketuai oleh Profesor Dr. Salmi Md Isa, bertujuan meningkatkan kualiti hidup komuniti Orang Asli menerusi inisiatif kelestarian air dan kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, Business Sustainability Hub yang diterajui oleh Profesor Madya Ts. Dr. Teoh Ai Ping pula berperanan sebagai platform strategik bagi mempromosikan kepimpinan perniagaan lestari, amalan pengurusan yang bertanggungjawab serta kolaborasi berimpak tinggi antara universiti, industri dan masyarakat.

Terdahulu, Dekan GSB, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim, berkata majlis berkenaan merupakan kemuncak kepada aspirasi yang telah sekian lama diimpikan sejak penubuhan GSB pada tahun 2008, iaitu memiliki sebuah bangunan yang menghimpunkan seluruh warga GSB di bawah satu bumbung.

Menurut beliau, bangunan yang dahulunya merupakan Makmal Pengajaran Biologi dan Kimia D33 telah melalui proses pengubahsuaian dan penaiktarafan sebelum dijadikan kediaman tetap GSB.

Katanya, proses perpindahan secara berfasa bermula pada Januari 2026 menerusi kempen "Move Smart, Move Green", sebelum GSB mula beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu tersebut pada 25 Mei 2026.

"Bangunan baharu ini bukan sekadar melambangkan perpindahan fizikal, malah membuka lembaran baharu kepada GSB dalam menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan kolaborasi, selaras dengan misi kami untuk melahirkan pemimpin perniagaan yang beretika, berdaya saing di peringkat global serta mampu memberi impak kepada masyarakat," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan tertinggi USM, jabatan-jabatan universiti, kontraktor, rakan strategik, penyumbang, alumni serta seluruh warga GSB atas komitmen dan sokongan padu sehingga projek berkenaan berjaya direalisasikan.

Beliau yakin kemudahan baharu itu akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengukuhan kerjasama strategik bersama industri serta peningkatan pengiktirafan GSB di peringkat antarabangsa.

Perasmian bangunan baharu GSB bukan sahaja menandakan kejayaan menyiapkan satu projek pembangunan infrastruktur yang penting, malah menjadi titik permulaan kepada fasa baharu dalam usaha Universiti Sains Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab kecemerlangan serantau dalam pendidikan siswazah perniagaan, penyelidikan berkualiti tinggi dan inovasi yang berteraskan kelestarian.

Teks: Dr. Hong Meen Chee, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan    Foto: Muhammad faris Darwisy Mohamad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 303

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025