USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KELOMPOK LIMA UNIVERSITI TERBAIK DUNIA BAGI IMPAK KELESTARIAN, KEKAL NO.1 DUNIA BAGI SDG 17

USM PULAU PINANG, 24 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kelestarian global apabila disenaraikan dalam kelompok lima universiti terbaik dunia bagi impak kelestarian menerusi Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026, yang diumumkan sempena Global Sustainable Development Congress (GSDC) 2026 di Jakarta, Indonesia.

Dalam penarafan tahun ini, USM melonjak sembilan anak tangga daripada kedudukan ke-14 dunia pada tahun 2025 kepada kedudukan ke-5 dunia, sekali gus menempatkan USM dalam kelompok lima universiti terbaik dunia daripada 1,603 universiti yang dinilai di seluruh dunia.

Pencapaian ini turut mengukuhkan kedudukan USM sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam THE Sustainability Impact Ratings 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menerajui agenda pembangunan mampan melalui pendekatan institusi yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Lebih membanggakan, USM berjaya mengekalkan kedudukan No. 1 Dunia bagi Sustainable Development Goal (SDG) 17: Partnerships for the Goals (Perkongsian untuk Matlamat), menjadikan universiti ini antara peneraju global dalam membangunkan kerjasama strategik yang menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pencapaian tersebut mencerminkan kekuatan USM dalam membangunkan ekosistem perkongsian strategik yang menyeluruh, merangkumi kerjasama dengan agensi kerajaan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti serta institusi pendidikan tinggi dan organisasi antarabangsa.

Kejayaan ini turut disokong oleh komitmen universiti dalam perkongsian ilmu dan amalan terbaik di peringkat global, pelaporan kemajuan SDGs secara telus serta integrasi prinsip pembangunan mampan dalam pendidikan, penyelidikan, dan penglibatan masyarakat.

Selain SDG 17 yang merupakan komponen wajib dalam pengiraan keseluruhan, pencapaian USM turut diperkukuh oleh prestasi cemerlang dalam tiga SDG terbaik lain yang diambil kira, iaitu:

· SDG 1: Tiada Kemiskinan

· SDG 14: Hidupan di Bawah Air

· SDG 15: Kehidupan di Darat

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen berterusan seluruh warga universiti dalam mengintegrasikan prinsip kelestarian ke dalam setiap aspek pengurusan, pendidikan, penyelidikan, operasi kampus, dan penglibatan masyarakat.

“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan ekosistem kelestarian USM yang menyeluruh dan bersepadu. Ia bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi universiti di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan institusi pendidikan tinggi Malaysia untuk memimpin agenda pembangunan mampan global melalui ilmu, inovasi, perkongsian strategik, dan penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini selari dengan aspirasi USM untuk terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti yang memimpin transformasi pendidikan tinggi ke arah masa depan yang lebih lestari.

THE Sustainability Impact Ratings merupakan penarafan antarabangsa yang menilai sumbangan universiti terhadap pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui aspek tadbir urus, pendidikan, penyelidikan, operasi, dan penglibatan masyarakat.

Pencapaian cemerlang ini membuktikan bahawa USM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka, malah terus menjadi model rujukan global dalam memacu pembangunan mampan melalui perkongsian strategik, inovasi, dan penyelesaian berasaskan ilmu yang memberi impak kepada masyarakat serta menyumbang kepada pencapaian Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

  • Created on .
  • Hits: 161

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025