PWUSM RAI 38 ORANG ANAK YATIM
PULAU PINANG, 27 Jun 2015 – Sempena kedatangan Ramadhan, Persatuan Wanita Universiti Sains Malaysia (PWUSM) dengan kerjasama Pusat Racun Negara (PRN) mengambil inisiatif menganjurkan program “Jalinan Kasih” bersama 38 anak-anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Al-Munirah Cawangan Gurun, di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), di sini, semalam.
Pengerusi PWUSM Profesor Madya Datin Dr. Joriah Muhammad berkata, sokongan warga staf USM dengan memberi sumbangan untuk program ini membuktikan sokongan padu terhadap program-program kebajikan masyarakat dan komuniti dengan jumlah kutipan derma yang tinggi dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Tambahnya lagi, sokongan-sokongan daripada pihak luar yang banyak membantu dari segi kewangan dan bantuan juga menandakan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh PWUSM juga mendapat perhatian semua pihak.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk membantu pembangunan insan terutamanya untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa dan miskin," tambahnya lagi.
Wakil Persatuan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Al-Munirah Cawangan Gurun Widaad Mohd. Zainal, 30, menzahirkan rasa gembiranya apabila pihak PWUSM memilih mereka untuk program tersebut selain berharap ianya dapat memberikan manfaat kepada anak-anak ini untuk pembangunan modal insan.
“Pemberian cenderahati tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh anak-anak ini selain aktiviti-aktiviti yang dianjurkan PWUSM mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka,” ujarnya lagi.
Antara aktiviti yang diadakan ialah lawatan ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM, aktiviti bersama Pusat Racun Negara (PRN) tentang pengetahuan mengenai keracunan bahan-bahan beracun di rumah dalam suasana yang menarik, interaktif dan lebih santai, majlis berbuka puasa, penyampaian cenderahati dan solat berjemaah.
Hadir sama ialah Setiausaha Persatuan Wanita USM (PWUSM) Profesor Sr. Dr. Mastura Jaafar @ Mustapha; isteri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Datin Dr. Aishah Knight Abdul Shatar dan isteri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Datin Suraiya Kassim. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1923